Anwar menghadiri majlis kenduri korban di rumah kenalan lamanya di Mengkuang Semarak, Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.

BUKIT MERTAJAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan hasrat Malaysia untuk menyertai BRICS (blok ekonomi yang sedang pesat membangun merangkumi Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan) telah disampaikan kepada Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, perkara tersebut telah diangkat kepada Kementerian Luar untuk membuat kajian sejak dua bulan lalu.

“Keputusan kita dari sudut dasar untuk menyertai BRICS dan kita juga akan melalui proses untuk memungkinkan kita menyertainya.

“Malah, saya sendiri sudah bercakap dengan Presiden Brazil tentang hasrat tersebut,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Mengkuang Semarak di sini, hari ini.

    Anwar.

Terdahulu, Anwar dan isterinya, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail meluangkan masa selama 45 minit menyantuni penduduk sekitar pada majlis kenduri korban di rumah Hamzah Mat Isa yang merupakan kenalan lama beliau.

Media tempatan terdahulu memetik laporan Sputniknews, Anwar dalam wawancara bersama pengasas media China Guancha, Li Shimo, berkata, Malaysia akan memulakan prosedur rasmi untuk menyertai BRICS (blok ekonomi yang sedang pesat membangun merangkumi Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan) tidak lama lagi.

Anwar berkata, sebelum ini beliau mengadakan perbincangan mengenai pengembangan BRICS dengan Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva.

Menurutnya, Malaysia ‘lega’ dunia tidak lagi unipolar (sistem tadbir urus global dikuasai sebuah negara berkuasa penuh tanpa boleh dicabar) dan kebangkitan BRICS dan China khususnya telah menawarkan harapan terdapat semak dan imbang di dunia.

Kumpulan BRICS telah menyaksikan dua gelombang pengembangan sejak kemunculannya pada 2006.

Pada 2011, Afrika Selatan menyertai ahli asal yang termasuk Brazil, Russia, India dan China. Pada Ogos 2023, enam ahli baharu, termasuk Argentina, dijemput untuk menyertai kumpulan itu.

Buenos Aires menukar fikirannya pada akhir Disember tahun lalu. Lima ahli baharu, Mesir, Iran, UAE, Arab Saudi dan Ethiopia, secara rasmi menyertai kumpulan itu pada 1 Januari 2024.

Kumpulan itu dibentuk untuk menyatukan negara-negara membangun yang paling penting di dunia, bagi mencabar kuasa politik dan ekonomi negara-negara kaya di Amerika Utara dan Eropah Barat.

BRICS kini menyumbang satu perempat daripada ekonomi global, merangkumi satu perlima daripada perdagangan global, dengan populasi sekitar 40 peratus penduduk dunia. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

Malaysia bakal sertai kesatuan ekonomi BRICS