Pejabat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette berkenaan sektor kerajaan sempena Belanjawan 2022 di Putrajaya. foto arkib MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Muafakat Nasional, Datuk Zuraida Kamaruddin menyifatkan kenyataan balas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berhubung pandangan beliau terhadap penubuhan Duta Online sebagai amat dangkal, seolah-olah tidak memahami isu yang diketengahkan.

Dalam respons kepada kenyataan Zuraida, Nga Kor Ming berkata, pasukan Duta Online’ yang diperkenalkan dalam kalangan penjawat KPKT ini tidak dibayar dan mereka hanya menjadi duta di luar waktu kerja dan tugas hakiki mereka.

Fahmi pula berkata, tiada pertindihan, namun perlu penyelarasan kepada maklumat yang disampaikan oleh Duta Online KPKT agar tidak bercanggah dengan “maklumat” di peringkat pusat.

Berdasarkan jawapan Kor Ming, Zuraida berkata, Menteri KPKT itu mungkin tidak faham atau enggan memahami tugas-tugas hakiki penjawat awam.

Jelasnya, setiap penjawat awam telah ditetapkan dengan tugas-tugas tertentu dan mempunyai indeks penunjuk Utama (KPI) yang tersedia untuk mereka patuhi.

“Sepanjang saya berkhidmat sebagai Menteri KPKT apa yang dapat saya lihat adalah beban kerja tinggi setiap jabatan dan unit di KPKT sehingga banyak kali saya mendapat permohonan dan rayuan daripada jabatan-jabatan di dalam KPKT sendiri untuk menambah bilangan kakitangan bagi menyelesaikan kerja-kerja sedia ada.

“Apakah penjawat awam sedia ada yang terbeban dengan tugas yang banyak di pejabat, kini perlu pula berhadapan dengan “netizen” setelah pulang ke rumah atau semasa cuti mereka semata-mata untuk menjawab persoalan rakyat di media sosial?

“Adakah perlu para Duta Online ini menggunakan akaun media sosial peribadi mereka untuk menjawab persoalan rakyat ataupun mereka menggunakan akaun hantu (ghost account) untuk mempertahankan polisi kerajaan sebagaimana yang dilakukan oleh sebilangan besar “cybertrooper” politik di negara ini?,” soal Zuraida yang juga bekas Menteri KPKT.

Zuraida menempelak Kor Ming yang dengan bangga menyatakan Duta Online yang dilantik ini tidak dibayar dan mereka bekerja secara sukarela untuk menjadi duta.

Tegasnya, Tindakan Kor Ming ini merupakan satu kaedah pembulian yang nyata kerana mereka ditambah tugas untuk mempertahankan KPKT, di luar waktu pejabat dan seterusnya tidak dibayar.

Beliau berkata, andaiannya dalam kenyataan sebelum ini adalah benar, iaitu Kor Ming mahu penjawat awam KPKT bertindak persis cybertrooper politik bagi menangani sebarang kritikan terhadap keputusan, tindakan dan polisi yang beliau laksanakan sebagai Menteri KPKT.

Tambahnya, Fahmi pula tampaknya begitu teruja mempertahankan tindakan Kor Ming untuk mewujudkan Duta Online KPKT dengan mengatakan tiada pertindihan tanggungjawab dengan jabatan, agensi dan unit penerangan sedia ada.

Sedangkan hakikatnya, disebabkan kelemahan jentera penerangan kerajaan yang sepatutnya dikawal selia oleh Kementerian Komunikasi di bawah Fahmi, Kor Ming terpaksa mencari jalan alternatif bagi menangani kritikan daripada masyarakat terhadap kementerian beliau.

Ditambah pula dengan ketiadaan mekanisme yang betul dalam penubuhan Duta Online ini, sudah pasti akan berlaku kekeliruan apabila penjawat awam yang ditugaskan untuk menjawab persoalan secara atas talian ini dihujani dengan persoalan pelbagai oleh netizen.

“Secara jujurnya, saya percaya bahawa setiap pemimpin (Menteri atau Timbalan Menteri) mempunyai cara tersendiri untuk mengendali kementerian yang mereka terajui.

“Kor Ming dan Fahmi kedua-duanya telah dipertanggungjawabkan bagi mengendali dua kementerian yang amat penting bagi pertumbuhan dan pembangunan negara,” ujar beliau lagi.

Oleh itu, adalah penting bagi kedua-dua menteri ini untuk menilai semula tindakan atau kenyataan yang mereka bakal laksanakan terlebih dahulu sebelum mengumumkan sesuatu kepada masyarakat.

Ia kerana, inisiatif Duta Online KPKT ini ternyata akan mendatangkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat dan ditambah pula dengan sifat penubuhannya yang mem”buli” penjawat awam untuk mempertahankan pemerintah yang gagal di luar masa dan bidang tugas mereka.

“Cadangan saya kepada Nga, hapuskan sahaja inisiatif Duta Online KPKT ini. KPKT sebagai kementerian di dalam Kerajaan Malaysia perlu terima sahaja sebarang kritikan dan menyelesaikan perkara itu dengan tindakan yang proaktif.

“Jangan terlalu defensif dengan kritikan dan sekiranya ada berlaku elemen fitnah didalam kritikan sesetengah rakyat, gunakan sahaja saluran perundangan yang betul.

“Kepada Fahmi, PMX sudahpun memberikan portfolio digital kepada pemimpin lain, tiada lagi alasan untuk anda gagal dalam melaksanakan tugas dengan baik bagi memperkukuhkan penyampaian maklumat kepada rakyat.

“Sedarlah bahawa anda sekarang sudah berada di tampuk pemerintahan negara. Anda berdua bukan lagi pemimpin di barisan pembangkang yang cukup sekadar mengkritik sahaja. Kini anda juga boleh dikritik oleh mana-mana pihak,” katanya yang meminta kedua-dua Menteri ini menggunakan peluang untuk melaksanakan pembaharuan yang dijanjikan oleh parti sebelum ini dan meminta mereka hargailah penjawat awam yang telah banyak berkorban demi pembangunan Malaysia. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Kalau Jabatan Penerangan kaa..ok laa juga..ni kakitangan Kementerian Perumahan plak dipaksa jd cybertrooper DAP selepas waktu pejabat…bangang punya Menteri

Comments are closed.