Kredit Malaysia Tribune

KUALA LUMPUR – Lima sekeluarga lelaki yang terlibat dalam serangan Balai Polis Ulu Tiram di Johor pada 17 Mei lalu didakwa dengan sembilan pertuduhan di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini.

Kesemua mereka dituduh secara berasingan termasuk menggalakkan perbuatan pengganas dengan menanam ideologi keganasan kumpulan pengganas Islamic State (IS).

Lima tertuduh adalah bapa lelaki berkenaan, Radin Imran Radin Mohd Yassin, 62; ibunya Rosna Jantan, 59, termasuk tiga adik-beradiknya, Radin Romyullah Radin Imran, 34; Farhah Sobrina Radin Imran, 23, dan Mariah Radin Imran, 19.

Radin Imran berhadapan empat pertuduhan termasuk Seksyen 130G(a) Kanun Keseksaan (Akta 574) iaitu menggalakkan perbuatan pengganas dengan menanam ideologi keganasan kumpulan IS.

Berdasarkan pertuduhan, fahaman itu didakwa telah disemai kepada semua anggota keluarganya membabitkan suspek serangan iaitu Radin Luqman, 21, serta tiga anaknya yang lain.

Anak lelaki sulungnya pula berdepan dua pertuduhan manakala isteri dan dua anak perempuan Radin Imran pula masing-masing hanya berhadapan satu pertuduhan.

Sebagai rekod, ketika kejadian serangan di balai polis tersebut pada 2.54 pagi 17 Mei lalu, dua anggota polis berpangkat konstabel, Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, terkorban.

Manakala seorang lagi anggota polis berpangkat koperal, Mohd Hasif Roslan cedera ditembak dan dirawat di Hospital Sultan Ismail, manakala suspek ditembak mati di tempat kejadian.

Susulan itu, tujuh individu direman bagi membantu siasatan serangan itu. Mereka terdiri daripada lima ahli keluarga suspek berusia 19 hingga 62 tahun serta dua pelajar institusi pengajian tinggi yang hadir di balai polis sejurus sebelum kejadian.

Bagaimanapun, dua pelajar IPT itu dibebaskan tanpa syarat.

Lima ahli keluarga penyerang itu kemudiannya ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) selepas tempoh reman terhadap mereka tamat.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Kes serangan balai polis, tujuh direman esok