Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.

KUALA LUMPUR – Malaysia bakal menjadi tumpuan dalam usaha merancang, memperkasa perlindungan sosial peringkat tempatan dan global sempena penganjuran Forum Keselamatan Sosial Dunia (WSSF) 2025 yang berlangsung di Geneva.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong menyifatkan forum antarabangsa itu tepat pada masa memandangkan negara di seluruh dunia termasuk Malaysia ketika ini berdepan beberapa cabaran baharu berkaitan aspek keselamatan sosial.

“Jelasnya, perkara utama yang perlu dirungkai adalah kesan langsung daripada pola masyarakat menua dan kelestarian dana pencen, selain merencana sistem keselamatan sosial terbaik bagi penggiat sektor gig.

“WSSF 2025 diyakini berupaya menjadi wahana untuk seluruh dunia berkongsi strategi dan langkah ke hadapan yang sewajarnya demi memastikan siri cabaran ini ditangani bermula dari sekarang.

“Kita tidak boleh alpa dan berlengah kerana fenomena masyarakat menua bakal memberi tempias yang amat mendalam, termasuk membabitkan unjuran semasa berkaitan kelestarian dana pencen bagi penggiat sektor gig.

“Justeru, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) mengadakan perbincangan dengan International Social Security Association (ISSA) untuk memastikan WSSF 2025 berupaya mencapai matlamat, selain menjadi wadah mencerminkan tekad Malaysia dalam perjuangan hak asasi manusia dan perlindungan sosial, khususnya golongan pekerja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 13 Jun lalu, Steven yang dalam rangka lawatan kerja rasmi sulung ke Geneva turut mengadakan perbincangan dengan ISSA di sana bagi memperhalusi beberapa agenda terutama dalam memperkasa rencana jaringan keselamatan sosial di Malaysia dan meneliti perkembangan sektor ekonomi gig.

Perbincangan turut terarah kepada agenda di sebalik ‘Seminar Teknikal: Keselamatan Sosial untuk Pekerja Sendiri dan Pekerja Platform’ yang bakal diadakan pada 27 hingga 28 Ogos 2024, di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.

Penganjuran seminar menerusi kerjasama antara PERKESO, ISSA dan KESUMA itu adalah pentas penting bagi merungkai rangkaian isu semasa dan merencana penyelesaian berkesan untuk melindungi pekerja dalam ekonomi gig.

Sejak ditubuhkan pada 1927 di bawah naungan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), ISSA kini mempunyai keahlian terdiri daripada 324 institusi dari 163 negara di seluruh dunia.

Menerusi rangkaian kerjasama peringkat antarabangsa itu, PERKESO yang menjadi sebahagian daripada ahli institusi ISSA sejak 1974, menggarap pelbagai penambahbaikan demi memastikan kemapanan aspek jaringan keselamatan sosial di Malaysia.

Yang turut hadir, Ketua Bahagian Strategi dan Transformasi PERKESO, Edmund Cheong Peck Huang; Setiausaha Agung ISSA, Marcelo Abi-Ramia Caetano dan Pengarah Pembangunan Keselamatan Sosial ISSA, Raul Ruggia-Frick.

Sementara itu, Steven Sim berkata, Malaysia ketika ini giat merintis penambahbaikan menerusi pindaan akta berkaitan untuk menepati Konvensyen Keselamatan Sosial (Standard Minimum) 1952 (Konvensyen 102).

Beliau berkata, usaha sedemikian selari tekad kerajaan ke arah reformasi dasar dan institusi kepentingan awam yang menjadi antara tonggak prinsip Kerajaan Madani.

“Dengan ratifikasi Konvensyen 102, Malaysia boleh mengukuhkan lagi perlindungan sosial dan menjamin faedah yang mencukupi bagi pekerja serta keluarga mereka,” katanya lagi.-MalaysiaGazette