NTW 2024

TAHUN lalu Minggu Latihan Nasional (NTW) 2023 dijalankan serentak di semua 13 negeri di Malaysia dari 22 hingga 29 Mei 2023 dengan latihan dijalankan secara bersemuka, dalam talian atau melalui mod hibrid, bergantung kepada jenis dan sifat program.

Pelancarannya pula dibuat di tujuh wilayah membabitkan Johor Bahru, Johor, Kuching, Sarawak, Nilai, Negeri Sembilan, Bayan Baru, Pulau Pinang, Kota Kinabalu, Sabah, Durian Tunggal, Melaka, dan Kuantan, Pahang, dengan 26 aktiviti berimpak tinggi.

NTW 2023 membabitkan 129,321 peserta, 503,572 jam latihan dan 1,577 penyedia kursus meninggalkan kesan mendalam pada landskap pembelajaran di Malaysia dengan individu dari pelbagai latar belakang memanfaatkan peluang untuk meningkatkan kemahiran mereka.

Bertitik tolak dari kejayaan NTW 2023, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) di bawah pimpinan menteri baharuya, Steven Sim, khususnya Human Resource Development Corporation (HRD Corp) di bawah pimpinan Datuk Wira Shahul Dawood, melangsungkan pula NTW 2024.

Dengan tema “Menginspirasi Kecemerlangan Malaysia melalui Pembelajaran Sepanjang Hayat”, NTW 2024 yang akan berlangsung dari 24 hingga 30 Jun 2024 menjanjikan pelbagai kelainan dengan penambahan dalam ruang lingkup latihan dan peningkatan dalam bentuk program.

NTW 2024 merupakan penambahbaikan kepada NTW 2023 dengan pengemukaan sasaran baharu iaitu 200,000 penyertaan, 25,000 kursus percuma, 500 aktiviti pembelajaran dan pembangunan (L&D) di seluruh negara, 700,000 jam pembelajaran dan RM200 juta nilai latihan.

Objektif NTW 2024 kekal untuk mempromosikan pembelajaran sepanjang hayat sebagai budaya untuk rakyat, meningkatkan kerjasama strategik antara kerajaan dalam latihan dan pembangunan, serta melengkapkan rakyat dengan kemahiran dan pengetahuan untuk masa depan pekerjaan.

Manfaat utama NTW 2024 ialah ia akan memperkasakan rakyat menjadi lebih berkemahiran dan berpengetahuan melalui pelbagai inisiatif latihan menyeluruh yang akan membolehkan mereka memainkan peranan aktif dalam memajukan pertumbuhan dan kesejahteraan negara.

Inisiatif ini dijangka akan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pembelajaran dan pembangunan di kalangan rakyat serta mempromosikan kerjasama antara sektor korporat dan agensi kerajaan untuk memperkukuhkan landskap pembelajaran dan pembangunan di Malaysia.

Mengikut Sim, antara penambahbaikan yang diperkenalkan dalam NTW 2024 ialah kemasukan peserta dari sektor perkhidmatan awam serta fokus yang lebih terhadap ekonomi digital dan Kecerdasan Buatan (AI) selaras dengan penekanan terbaharu Kerajaan Malaysia.

Untuk itu sebanyak lima tiang dan bidang fokus telah dirangka. Tiang 1, Kemahiran Hidup, membabitkan pembangunan peribadi dan pencapaian diri. Tiang 2, Kemahiran Masa Depan, membabitkan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), digitalisasi, AI & mesin.

Tiang 3, Kreativiti dan Inovasi, membabitkan muzik, seni, budaya dan pendidikan kreatif. Tiang 4, Kewangan, membabitkan bank, insurans, pelaburan dan FinTech. Tiang 5, Pembangunan Mampan, membabitkan alam sekitar, pembangunan, kesaksamaan dan kemakmuran.

Jelajah NTW 2024 di seluruh negara pula merangkumi Majlis Perasmian di Johor pada 24 Jun, Karnival Utara di Pulau Pinang pada 25 Jun, Karnival Pantai Timur di Terengganu pada 26 Jun, Karnival Kuching di Sarawak pada 27 Jun, Karnival KK di Sabah pada 28 Jun dan berakhir dengan Karnival NTW & Majlis Penutupan oleh Perdana Menteri di Kuala Lumpur pada 29 dan 30 Jun.

Kali ini banyak sekali aktiviti berimpak tinggi diperkenalkan oleh NTW 2024.

Antaranya ialah program “Menteri Memimpin Dari Hadapan” yang akan menampilkan sesi perkongsian dengan tiga anggota kabinet Malaysia MADANI dalam mana mereka akan memberikan pandangan mereka tentang Kementerian masing-masing mengenai topik sinkronisasi perdagangan, bakat dan dasar pendidikan tinggi untuk pertumbuhan ekonomi.

Seterusnya ialah program “Bengkel Kesan Inklusi” yang akan menampilkan Tunku Aminah Maimunah Iskandariah untuk memperkasakan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dengan meningkatkan pemahaman mengenai kekuatan mereka, memberikan mereka kemahiran dan pengetahuan penting untuk berjaya dalam pekerjaan dan memupuk komuniti yang menyokong.

Selain itu ialah pelancaran program “Siri Kuliah Kepimpinan KESUMA” yang akan menampilkan tokoh-tokoh industri terkemuka yang akan berkongsi pengetahuan dan kepakaran mereka mengenai konsep kepimpinan, gaya kepimpinan yang berjaya serta cara untuk memupuk kerja berpasukan dan mengatasi situasi yang kompleks dengan pemimpin industri lain.

Selanjutnya ialah program “Seminar Pemberdayaan PKS” yang disasarkan kepada pengurusan dalam Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta menyediakan pandangan dan perkhidmatan nasihat daripada pakar, memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan, strategi pemasaran, pertumbuhan kewangan dan program pembangunan perniagaan yang tersedia.

Turut akan diadakan ialah Debat Piala Menteri KESUMA yang merupakan pertandingan debat jemputan membabitkan isu-isu penting semasa di Malaysia dan di dunia melibatkan empat sekolah elit, iaitu Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya, Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya, Sekolah Dato Abdul Razak, Negeri Sembilan, dan Sekolah Tunku Kurshiah, Negeri Sembilan.

Program “Kemahiran Digital@NTW” pula mensasarkan Ketua Pegawai Teknologi (CTO) dan Ketua Pegawai Maklumat (CIO). Program yang memfokuskan pada Kemahiran Digital dan Kepimpinan ini akan menampilkan perkongsian mendalam oleh pemimpin dalam bidang Digital yang relevan untuk CTO, CIO dan profesional Teknologi Maklumat (IT) lain.

Satu lagi program baru ialah “NTW Untuk Perkhidmatan Awam” yang mensasarkan penjawat awam kanan kerajaan serta akan menampilkan sesi perkongsian oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Dato’ Sri Wan Ahmad Dahlan Haji Abdul Aziz, dan masterclass tentang Budaya Kerja Berprestasi Tinggi oleh penceramah antarabangsa terkenal.

Banyak lagi program menarik lain disajikan dalam NTW 2024 seperti “Kursus Multimedia Interaktif Bersama PDRM”, “MINDEF@NTW”, “BOMBA@NTW”, “Pembelajaran Berasaskan Komuniti”, “Kemajuan Profesional Dalam Truking Dan Pengangkutan”, “24 Jam Bersama Pemimpin HR”, “Creator Connect”, “Hubungan Perindustrian” serta “NTW Learn-A-Thon”.

Sebagai kesimpulannya, NTW 2024 menjanjikan pelbagai kelainan, terutamanya kerana menyajikan banyak aktiviti berimpak tinggi yang dijangka akan memberi satu lonjakan baru dalam usaha KESUMA dan HRD Corp membantu rakyat meningkatkan kemahiran mereka.

Datuk Dr. Mohamed Anwar Omar Din adalah Profesor Adjung di Asian e University (AeU), Subang Jaya