Dr Md Amin Md Taff

IPOH – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menubuhkan Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi pada Januari 2023, bagi menyediakan bakat dalam bidang teknologi kecerdasan buatan (AI).

Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, fakulti berkenaan, menawarkan program berkaitan AI iaitu Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Perisian, Ijazah Sarjana AI (secara penyelidikan), serta Doktor Falsafah (PhD) AI.

Beliau berkata di Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi juga, mempunyai pasukan petugas AI yang menyelaras penyelidikan dan inovasi berkaitan dengan AI dalam pendidikan.

“Beberapa program dan kursus berkaitan AI di Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi sedang dijalankan antaranya Sains Data dalam Pendidikan yang terbuka sebagai kursus elektif untuk penuntut peringkat Ijazah Sarjana dan kursus Kesedaran dan Keselamatan Siber yang bermula sejak Februari.

“Program berkaitan AI yang akan dilaksanakan di UPSI ialah Ijazah Sains Komputer (Internet Benda) (IoT) dengan pengambilan bermula tahun ini membabitkan pengambilan 50 orang, manakala Program Dwi-Ijazah iaitu PhD dalam AI bersama Cardiff Metropolitan University (CMET), United Kingdom dengan ambilan pertama bermula Oktober,” katanya kepada Bernama.

Md Amin berkata, tenaga pengajar AI terdiri daripada pensyarah daripada Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi yang pakar dalam pelbagai bidang antaranya pembelajaran mesin, pengoptimuman, analitik data dan pembayangan, IoT dan robotik.

“Fakulti ini juga mempunyai kumpulan minat khusus (SIG) tersendiri yang menjalankan kajian serta inovasi berkaitan AI dalam pendidikan, antara SIG tersebut ialah AI in EducationData Intelligence and Knowledge Management (DILIGENT), Centre of Embedded Education Green Technology (EduGreen@UPSI), Robotics and CyberPhysical System (RACS), Reality Xscape serta Mindgames Think Tank.

Md Amin berkata, sehingga Jun, Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi di bawah Unit Perniagaan Strategik telah berjaya menjalankan beberapa siri kursus secara berbayar, yang terbuka kepada orang awam yang berminat berkaitan AI.

Mengulas lanjut, beliau berkata antara kursus yang telah dijalankan ialah GenAI MaestroBusiness Model Canvas with AI IntegrationCanva Website Sales Pages with AIZero Cost Digital Marketing with AI IntegrationGoogle Website Sales Pages with AISystematic Literature Review with AI and MendeleyRevolutionizing Copywriting with AI serta Google and SEO Marketing with AI.

“Kursus-kursus ini telah memanfaatkan lebih daripada 2,000 orang peserta di seluruh negara,” katanya. – BERNAMA