Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh bercakap kepada pemberita pada sidang media di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu membuka ruang dan peluang lebih besar kepada golongan sasar untuk mendapatkan subsidi diesel untuk mengelak rakyat terbeban dengan kenaikan harga bahan api itu.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, kerajaan perlu memastikan rakyat mempunyai akses yang mudah untuk membuat permohonan kepada Budi Madani.

“Pemuda UMNO berpandangan kerajaan wajar menangani segera melalui dua pendekatan iaitu memperbesar dan memudahkan pemberian subsidi kepada golongan sasar.

“Kerajaan perlu memastikan proses permohonan subsidi diesel tidak terlalu kompleks, penuh kerenah birokrasi dan capaian kepada yang memerlukan dapat disampaikan dengan cepat,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Dalam pada itu, kerajaan juga perlu memastikan tindakan penguatkuasaan dilakukan dengan lebih teratur agar pihak yang tidak bertanggungjawab dapat dibawa kemuka pengadilan, kata Dr Akmal.

“Pemuda UMNO tidak mahu hanya kerana culas berkaitan penguatkuasaan yang mendorong kepada penyeludupan, akhirnya rakyat yang harus menanggung kesan penarikan subsidi,” katanya.

Meskipun kerajaan menyediakan Budi Madani, hakikatnya tindakan menaikkan harga diesel itu dilihat sebagai langkah tergesa-gesa tanpa dilakukan secara berperingkat-peringkat seperti dilakukan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.

“Kenaikan yang begitu mendadak ini telah menyumbang kepada kenaikan harga barangan dan sekaligus memberi kesan besar kepada sektor ekonomi domestik dengan peningkatan kadar inflasi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here