Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap ketika hadir peluncuran Konsortium Impak Kelestarian Asia di Sime Darby Convention Centre, Bukit Kiara, Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 21 JUN 2024.

KUALA LUMPUR – Kerajaan telah menyelesaikan dua isu utama yang memberi kesan kepada prestasi semasa daya saing negara seperti dibangkitkan dalam laporan Ranking Daya Saing Global (WCR) 2024.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu tersebut melibatkan inisiatif penyasaran subsidi serta kelemahan nilai ringgit.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan memandang serius teguran dalam laporan WCR oleh Institut Antarabangsa bagi Pembangunan Pengurusan (IMD) sebagai usaha yang komited untuk memperbaiki prestasi negara.

“Tidak boleh dinafikan pada suku 2024 memang ada peningkatan dalam semua soal yang dibangkitkan.

“Antara kritikan kerasnya adalah kerana kegagalan kita melaksanakan penyasaran subsidi. Ini kita sudah baiki, maknanya sebahagian besar masalah selesai atau pun positif,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada Majlis Peluncuran Konsortium Impak Kelestarian Impak Asia di Pusat Konvensyen Sime Darby, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Laporan WCR yang dikeluarkan IMD baru-baru ini menunjukkan Malaysia jatuh tujuh anak tangga daripada kedudukan ke-27 yang dicatatkan pada 2023.

Malaysia berada di kedudukan ke-34 daripada 67 negara dalam WCR 2024 dan keempat dalam kalangan negara di ASEAN selepas Singapura, Thailand serta Indonesia.

Mengenai isu kelemahan ringgit, Anwar berkata, mata wang negara itu mula menunjukkan peningkatan biarpun negara berdepan masalah mata wang yang mencabar sejak tahun lalu.

“Bagaimanapun, suku tahun ini sudah ada peningkatan (nilai ringgit).

“Jemaah Menteri semalam, melihat dalam konteks ini dan lebih terbuka kekuatan serta kelemahan.

“Alhamdulillah kerana beberapa teguran diambil kira dan semua pihak akan bekerja lebih pantas dan cekap untuk perbaiki,” katanya.

Sementara itu, Anwar percaya penubuhan Konsortium Impak Kelestarian Impak Asia adalah tepat pada masanya yang mana ia boleh memanfaatkan kehebatan tiga kumpulan media untuk memudahkan tindakan kerjasama antara pihak berkepentingan, perniagaan dan orang ramai. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here