Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail

KUALA LUMPUR – Tidak puas hati kunci pintu rumah sewa ditukar, seorang lelaki ditahan polis kerana mengugut ejen rumah di sebuah kondominium di Ukay Ampang, Selangor, semalam. 

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata,  Bahagian Siasatan Jenayah telah menahan suspek berusia 35 tahun kira-kira jam 2 pagi tadi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati, kira-kira jam 5 petang semalam, pihak pengurusan kondominium telah menghubungi pengadu yang juga ejen rumah memaklumkan suspek datang dan ingin masuk ke rumah sewanya.

“Pengadu yang menguruskan unit rumah itu telah bertemu dengan suspek dan suspek bertanya kenapa kunci pintu rumah sewa itu ditukar.

“Bagaimanapun, ejen terbabit telah memberitahu kepada tuan rumah untuk tidak menukar kunci dan dia juga tidak mengetahui berkenaan perkara itu.

“Kemudian, pengadu meminta suspek untuk mencuba sekali lagi membuka kunci pintu namun masih tidak boleh dibuka dan suspek menuduh ejen itu mengunci rumah tersebut.

“Susulan itu, suspek bertindak agresif dan mengacah untuk menampar, mengugut serta memukul dan membunuh pengadu. Bagi mengelakkan keadaan jadi lebih teruk, pengadu bergegas beredar dari tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan.

Tambah Mohd Azam, hasil ujian saringan air kencing ke atas suspek didapati negatif dadah dan mempunyai satu rekod lampau jenayah.

Suspek direman empat hari bermula hari ini hingga 24 Jun dan kes disiasat di bawah Seksten 506 Kanun Keseksaan iaitu ugutan jenayah. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here