Kredit IPD Tapah

TAPAH – Seorang lelaki Orang Asli maut selepas motosikal dinaikinya bergesel dengan sebuah treler di Kilometer 56, Jalan Ipoh – Kuala Lumpur, di hadapan Hospital Tapah hari ini.

Turut dilaporkan cedera seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun yang membonceng motosikal ditunggang mangsa.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Mohd Naim Asnawi berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan itu sekitar jam 7.10 pagi tadi.

Menurut beliau, siasatan awal di tempat kejadian mendapati sebuah treler telah bergesel dengan motosikal yang dinaiki dua Orang Asli terbabit.

“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal berusia 61 tahun mengalami kecederaan parah dan maut di lokasi manakala pemboncengnya, kanak-kanak berusia lapan tahun cedera.

“Kanak-kanak terbabit yang pada mulanya dihantar ke Hospital Tapah untuk mendapatkan rawatan dipindahkan ke Hospital Teluk Intan untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, punca kemalangan masih dalam siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Sehubungan itu, orang ramai yang menyaksikan kejadian tersebut diminta tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Mohd Faizan Ahmad @ Mohammed Razikin di talian 013-208 7919,” jelasnya. – MalaysiaGazette