Gaya hidup berkeluarga dengan berkasih sayang antara suami dan isteri, selain menjadi teladan yang baik kepada anak-anak merupakan sunnah Rasulullah. Gambar hiasan

Oleh: Prof. Madya Dr Mohd Khairul Naim Che Nordin

JIKA ada satu gelombang yang boleh menggambarkan perubahan gaya hidup mereka yang digelar sebagai millennials dan Gen Z kini, maka salah satunya ialah tren tidak mahu
memiliki anak, atau dalam istilah yang popular, ‘childfree’. Namun, perlu dibezakan
keinginan tidak mahu memiliki anak (termasuk mengambil anak angkat) dengan tidak ada upaya untuk melahirkan dan mendapatkan anak (childless). Sebagai gaya hidup, ‘childfree’ merupakan satu pilihan yang sengaja dibuat.

Sebuah laman komuniti di Reddit dinamakan sebagai Childfree yang mengumpulkan
kelompok yang tidak mahukan anak. “Do not ever want children”, itu deskripsi di web bagi menerangkan tujuan komuniti yang dianggotai 1.5 juta ahli ini diwujudkan. Di dalamnya terhimpun luahan penyokong ‘childfree’ dari alasan tidak mahu beranak untuk
mengurangkan populasi dunia sehinggalah rasa syukur kerana dapat tidur dengan nyenyak tanpa gangguan tangisan bayi. Di media sosial seperti Instagram, TikTok dan Youtube, kehidupan ‘tanpa anak’ ini juga makin mendapat perhatian generasi muda.

Seorang pengguna dengan nama Marcela menggunakan gelaran ‘gadis dengan gaya hidup tanpa anak’ (Childfree lifestyle girly). Beliau memuatkan hampir 300 video di Youtube, di antaranya berkenaan keperitan hidup menjadi seorang ibu, keseronokan hidup berseorangan dan kenapa tidak memiliki anak adalah pilihan terbaik buatnya. Namun, gaya hidup tanpa anak ini bukan suatu yang baru tetapi hanya tular dan popular kembali kini. Menurut Rachel Chrastil dalam bukunya How to Be Childless: A History and
Philosophy of Life Without Children, gaya hidup tanpa anak telah sedia meletus di Barat
seawal 1970-an. Faktor utama ialah pengeluaran The Pill iaitu istilah yang diberikan untuk
pil pencegah kehamilan. Dengan adanya pil ini, wanita termasuk yang belum berkahwin
tidak lagi bimbang melakukan hubungan intim secara bebas.

Seiring dengan itu, gelombang ‘self-actualization’ atau kesedaran pencapaian diri turut berkembang di Barat. Ia berkait kesedaran seseorang yang mampu merealisasikan kehendak dan kebolehannya secara individu tanpa perlu tertakluk kepada kawalan agama atau kehendak masyarakat. Abraham Maslow meletakkan kesedaran ini di puncak tertinggi piramid keperluan manusia. Idea ini lebih awal dikembangkan oleh Jean-Jacques Rousseau yang melihat perasaan dan keinginan adalah sebahagian dari identiti manusia. Bagi Rousseau, keaslian jati diri kita akan menjadi lebih autentik apabila kita mampu mengkspresikan perasaan yang terpendam.

Dalam perkaitan childfree ini, kemampuan seseorang untuk tidak mahukan anak dan
menjadikannya sebagai gaya hidup merupakan satu pencapaian jati diri yang sebenar.
Selain itu, faktor ekonomi juga digunakan sebagai alasan mengapa gaya hidup ini menjadi pilihan. Biaya tinggi untuk membesarkan anak dilihat satu kekangan pada masa kini dan ia boleh dielakkan dengan memilih childfree. Bagaimana perspektif Islam dalam menanggapi isu fenomena tanpa anak ini? Dalam Islam, persoalan tentang anak dibincangkan selepas persoalan perkahwinan. Tujuan perkahwinan itu sendiri selain memenuhi fitrah manusia untuk hidup berpasangan serta untuk menyalurkan kehendak seksual melalui jalan yang sah, ia juga bertujuan untuk mendapatkan anak dan mengembangkan keturunan. Galakan untuk berkahwin ini disebut oleh Allah dalam surah al-Nur ayat 32 yang bermaksud: “Dan kahwinkanlah orang-orang yang sendirian di antara kamu, dan orang-orang yang layak (berkahwin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan hamba-hamba sahayamu yang perempuan…”

Manakala dalam surah al-Rum ayat 21, Allah menyebut tujuan perkahwinan iaitu: “Dan di
antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya
kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.” Hasil perkahwinan itu pula antaranya adalah untuk mendapatkan zuriat yang baik seperti yang termaktub dalam al-Nahl ayat 72 yang bermaksud: “Allah menjadikan bagimu pasangan (suami atau isteri) dari jenis kamu sendiri, menjadikan bagimu dari pasanganmu anak-anak dan cucu-cucu, serta menganugerahi kamu rezeki yang baik-baik.”

Dalam ayat di atas, Allah tidak sekadar menyebut “anak-anak” tetapi juga “cucu-cucu”. Ini bermaksud zuriat perlu dikembangkan. Maksud rezeki dalam ayat ini pula bukan sekadar wang tetapi juga anak yang baik, kebahagiaan yang dirasai ketika berkeluarga, ketenangan hidup, kesihatan yang baik dan lain-lain. Seterusnya dalam surah al-Isra’ ayat 37 Allah menempelak kalangan manusia yang sanggup membunuh anak kerana takutkan kefakiran: “Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan; Kamilah (Allah) yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu.” Namun, janganlah pula menafikan usaha dan ikhtiyar kerana itu juga elemen penting dalam kita bertawakkal kepadaNya. Gugusan beberapa ayat di atas membentuk pola pandangan dan set minda setiap Muslim bahawa; perkahwinan merupakan ibadah dalam agama, memperoleh anak dan cucu pula adalah kurniaan rezeki Allah, dan sifat tawakkal serta bergantung kepada Allah merupakan cerminan keimanan kepadaNya.

Namun, ini tidaklah bermakna Islam menegah perancangan keluarga dengan maksud
menjarakkan kelahiran atas alasan kesihatan ibu dan anak serta masalah lain yang tidak
dapat dielakkan. Tegahan dibuat jika ia dilakukan sekadar suka-suka, mengikuti tren
semata-mata, dan melihat anak sebagai beban. Apatah lagi jika ia membabitkan
pengguguran bayi yang jelas diharamkan dalam Islam. Islam memiliki gaya hidup tersendiri yang tercermin dari keimanan kepada Allah SWT dan kehidupan berkeluarga pula merupakah salah satu gaya hidup yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Menjalin hubungan yang baik antara suami isteri berdasarkan kerjasama dan saling memahami, membangun keluarga yang harmoni berdasarkan cinta, kasih sayang, dan hormat-menghormati serta mendidik anak-anak dengan nilai-nilai Islam dan pemberian teladan yang baik merupakan gaya hidup Islam yang harus diikuti.

 

Penulis merupakan Profesor Madya di Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast