Peniaga, Zaidi Ishak, 49, bercakap pada media berkenaan peniagaan semasa Pilihan Raya Kecil di Dewan Serbaguna Jawi, Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang. Foto AIZAT ZAINAL, 22 JUN 2024

NIBONG TEBAL – “Sudah 25 tahun saya jadikan lokasi pilihan raya sebagai tempat menjana pendapatan dan Alhamdulillah pulangannya mencecah ratusan ribu ringgit,” kata peniaga baju logo parti politik, Zaidi Ishak, 49.

Peniaga berasal dari Kuala Lumpur itu mendakwa antara jualan tertingginya pada Pilihan Raya Umum (PRU15) lalu di Port Dickson, Negeri Sembilan iaitu mencecah RM250,000.

“Memang setiap kali pilihan raya saya bersama seorang pekerja akan berkampung di kawasan itu sekurang-kurangnya tiga minggu dan pulangannya selalunya lebih daripada peniagaan hari biasa di kedai yang terletak di ibu negara.

“PRK Kuala Kubu saya berjaya menjual 2,000 helai baju dan setakat ini untuk Sungai Bakap 500 helai sudah terjual dalam tempoh tujuh hari,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Menurut peniaga kacang rebus, Mohd Sudirman Mohd Shukri, 48, berkata, hampir semua pilihan raya di Semenanjung menjadi lokasi dia dan anaknya menjana pendapatan.

“Asal kami berniaga di Alor Setar, Kedah tapi kalau PRK atau PRU kami akan pergi ke kawasan terlibat untuk berniaga.

Peniaga, Mohd Sudirman Mohd Shukri, 48, bercakap pada media berkenaan peniagaan semasa Pilihan Raya Kecil di Dewan Serbaguna Jawi, Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang. Foto AIZAT ZAINAL, 22 JUN 2024

“PRK DUN Pelangai (Pahang) pun kami pergi kerana orang ramai dan suka membeli ketika musim pilihan raya sambil dengar kempen mahupun ceramah parti politik kesukaan mereka.

“Memandangkan Sungai Bakap ini agak dekat dengan Alor Setar jadi kami akan ulang alik dua hari sekali namun sekiranya jauh kami berkampung sehingga hari pengundian,” katanya yang sudah mengamalkan konsep berniaga di kawasan pilihan raya sejak 15 tahun lalu.

Sementara itu, Muhammad Amirul Amri, 24, yang merupakan peniaga air turut berkongsi pengalaman sama meskipun baru berjinak berniaga di kawasan pilihan raya sejak setahun lalu.

Peniaga, Muhammad Amirul Amri, 24, bercakap pada media berkenaan peniagaan semasa Pilihan Raya Kecil di Dewan Serbaguna Jawi, Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang. Foto AIZAT ZAINAL, 22 JUN 2024

“Memang untung berganda kawasan pilihan raya ini berbanding saya berniaga di gerai di Alor Setar.

“Tak kisah perlu memandu ratusan kilometer atau berkampung kerana pulangan yang diperoleh itu berbaloi,” katanya.

PRK DUN Sungai Bakap yang membuka tirai dengan rasminya hari ini, menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon PH, Joohari Ariffin dan calon Perikatan Nasional, Abidin Ismail.

Media sebelum ini melaporkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK berkenaan pada 6 Julai, manakala pengundian awal pada 2 Julai.

Seramai 39,279 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK Sungai Bakap yang terdiri daripada 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here