Calon Perikatan Nasional, Abidin Ismail melambai ke arah media bagi menghantar borang pencalonan pada Hari Penamaan Calon sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N20 Sungai Bakap di Dewan Serbaguna Jawi, Nibong Tebal, Pulau Pinang. Foto AIZAT ZAINAL, 22 JUN 2024.

NIBONG TEBAL – Calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail optimis mampu mengekalkan kemenangan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap, Allahyarham Nor Zamri Latiff.

Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal itu berkata, beliau yakin dengan bantuan jentera komponen parti, PN mampu mendekati masyarakat di sini.

“Insya-Allah kita akan cuba mendekati seramai mungkin pengundi di Sungai Bakap dalam tempoh dua minggu berkempen.

“Alhamdulillah, saya tidak jangkal untuk bertemu penduduk sini berikutan sering ikut arwah Abang Zam sebelum ini.

“Malah, pendekatan mudah mendekati penduduk dapat dilihat melalui beberapa program yang diadakan sebelum ini, apabila mendapat respons yang baik daripada masyarakat di sini (Sungai Bakap),” katanya kepada pemberita selepas selesai proses penamaan calon di Dewan Serbaguna Jawi, di sini, hari ini,

PRK DUN Sungai Bakap yang membuka tirai dengan rasminya hari ini, menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon PH, Joohari Ariffin dan calon Perikatan Nasional, Abidin Ismail.

Media sebelum ini melaporkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK berkenaan pada 6 Julai, manakala pengundian awal pada 2 Julai.

Seramai 39,279 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK Sungai Bakap yang terdiri daripada 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis. – MalaysiaGazette