Genira Creative Productions mendapat pengiktirafan Malaysia Book Of Records (MBOR) baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Penganjuran Festival Kumpulan Muzik India Malaysia 2024 (MIBF 2024) anjuran Genira Creative Productions mendapat pengiktirafan Malaysia Book Of Records (MBOR) baru-baru ini.

Ini kerana aktiviti unik dan luar biasa MIBF menampilkan puluhan kumpulan anak tempatan yang melakukan persembahan tanpa henti selama 12 jam.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Genira Creative Productions, Gayathri Thandapany, acara sulung itu juga berjaya menarik pengunjung lebih 5,000 sepanjang festival muzik berlangsung.

Kata beliau, ini merupakan festival muzik dan kebudayaan kaum India yang objektifnya adalah meraikan dan mempromosikan keunikan irama komuniti itu dalam kalangan pelbagai bangsa di negara ini.

“Kita juga telah beri peluang kepada bakat-bakat tempatan untuk menunjukan kehebatan mereka, persembahan tanpa henti dan paling panjang di Malaysia ini akhirnya telah diberikan pengiktirafan MBOR. Kita amat hargainya.

“Kami sangat gembira dengan sambutan yang luar biasa terhadap MIBF ini, sememangnya tidak dapat dilupakan, terima kasih kepada semua yang berjaya menjadikan impian pelbagai pihak jadi kenyataan dalam satu bumbung anjuran kami,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Ketua Pegawai Eksekutif Genira Creative Productions, Gayathri Thandapany.

MIBF 2024 telah diadakan di The Base KL, Sungai Beşi pada 15 Jun 2024 bermula jam 12 tengah hari sehingga 12 tengah malam.

Difahamkan antara kumpulan muzik yang terlibat ialah The Bearded Theory, The Bandit Malaysia, Drub, Kurukshetra, Ahiri, The Time Signature, Jagat, Good Tapes Music, The Pandavas, Fusion Mantra, The Semi Breve Team, Nammaslay, Urban Vibez, The Groovers, The Gentle Notes, Sri Ranjani, Kyra, Rentak Angkasa dan banyak lagi.

Kata Gayatri, pelbagai makanan akan disediakan selain zoo mini, pameran kenderaan dan belon udara panas pada festival tersebut. – MalaysiaGazette