Hamzah Hamid

KUALA LUMPUR – Anak muda dan pekebun kecil digesa agar berani mencuba teknologi baru dalam penggunaan baja di dalam sektor pertanian.

Menurut MQH Resources Sdn Bhd (MQH) atau dikenali sekarang FastGrow Fertilizer percaya teknologi nano masa ini sangat bagus kerana melibatkan penjimatan kos dan tenaga.

Pengarah pemasarannya, Hamzah Hamid menjelaskan, produk baja FastGrow Fertilizer yang diusahakan oleh empat usahawan Bumiputera daripada kalangan anak muda itu telah berjaya menarik negara luar untuk menggunakan baja yang dihasilkannya.

Katanya, antara negara luar yang mengimport produk baja cecairnya itu adalah seperti Thailand, Brunei dan Indonesia.

“Kalau negara luar hargai teknologi kita cipta, kenapa pekebun Malaysia tidak lihat perkara ini secara mendalam.

“Apa yang saya harapkan pekebun membuka minda pelajari teknologi-teknologi baru. Kita dah advance teknologi pertanian seperti penanaman padi yang sudah menggunakan dron.
“Tetapi dalam pembajaan kita masih guna teknologi lama sedangkan ada teknologi baru boleh ubah sistem pembajaan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Hamzah berkata, industri pertanian Malaysia semakin pesat berkembang dengan pengenalan teknologi-teknologi terkini, terutamanya dalam penggunaan mikrob untuk meningkatkan hasil tanaman.

Katanya, terdapat lapan jenis mikrob yang mampu memberikan manfaat besar kepada sektor pertanian negara, menjadikannya sebagai elemen penting dalam pertanian moden.

Hal ini membangkitkan persoalan tentang kesediaan pekebun-pekebun Malaysia dalam mengadaptasi teknologi baharu, yang jelas dapat membantu meningkatkan hasil dan produktiviti mereka.

Beliau turut menegaskan bahawa, pertanian adalah sumber kekuatan utama negara, terutamanya ketika berhadapan dengan cabaran seperti pandemik Covid-19.

Jelasnya, sumber makanan tempatan yang sustainable adalah penting bagi memastikan kestabilan ekonomi negara.

“Melalui sistem TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional), lebih ramai golongan muda diharapkan untuk terlibat dalam inovasi pertanian, terutamanya dalam bidang penyelidikan dan penghasilan sumber makanan tempatan yang dapat mengurangkan kebergantungan kepada pengimportan makanan dari luar negara,” katanya.

Justeru, bagi mencapai matlamat tersebut, beliau berharap kerajaan akan memberikan sokongan penuh kepada usaha untuk menarik lebih ramai anak muda menceburi sektor pertanian, seterusnya memastikan kelestarian dan kemajuan industri berkenaan di Malaysia.

“Saya berharap kerajaan dapat membantu mempermudahkan birokrasi dalam usaha kami mengeksport teknologi ini ke luar negara dan meningkatkan penglibatan belia dalam sektor pertanian yang semakin berkembang,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast