Gambar ihsan : IPD Maran

KUANTAN – Seorang penuntut Universiti institut Teknologi Mara (UiTM) Jengka maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebuah kereta di Balora Mustika Bandar Jengka, Maran malam tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Norzamri Abd Rahman, kejadian berlaku pukul 9.15 malam itu membabitkan sebuah motosikal jenis Yamaha R250 dengan kereta Nissan Sylphy.

“Menurut siasatan awal, ketika kejadian, penunggang motosikal tersebut dari UiTM Jengka menghala ke bandar Jengka manakala kereta itu dipandu seorang wanita berusia 64 tahun dengan seorang anak perempuan berusia 24 tahun.

“Apabila tiba di tempat kejadian, kereta tersebut telah keluar simpang di sebelah kanan secara melulu dan dilanggar oleh mangsa yang sedang bergerak lurus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ekoran rempuhan itu, mangsa, Ahmad Imran Aiman Md Mubin yang beralamat di Felda Lepar Utara 1, Bandar Jengka itu meninggal dunia di tempat kejadian.

Bagaimanapun, menurut Norzamri, wanita warga emas yang memandu kereta terbabit dan anak perempuannya hanya mengalami kecederaan ringan dan kini dirawat di Hospital Jengka.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1), Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here