Calon Perikatan Nasional, Abidin Ismail berucap pada Ceramah Kelompok Perikatan Nasional (PN) di UDM Sungai Duri, Pulau Pinang. Foto AIZAT ZAINAL, 23 JUN 2024

NIBONG TEBAL – “Tiada arahan untuk saya elak bertemu media, cuma saya sibuk dengan susunan jadual yang padat santuni pengundi (Dewan Undangan Negeri, Sungai Bakap),” kata calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail.

Beliau yang mesra disapa Abang Bidin turut meminta maaf sekiranya wujud persepsi  sedemikian memandangkan tidak timbul isu dirinya mahu mengelak pertanyaan media.

“Tak elak (media), bukan ada masalah (arahan) dan memang saya pun (ada) kerja banyak, dengan ceramah dan pergi sana sini.

“Kadang-kadang letih juga, saya minta maaf dan memang tak ada isu untuk saya nak elak media,” katanya ketika ditemui pada Ceramah Kelompok PN di Unit Daerah Mengundi (UDM) Sungai Duri di sini, malam tadi.

Sejak kempen bermula semalam, pihak media berdepan kesukaran untuk bertemu calon tersebut walaupun jadual kempennya dikongsikan menerusi grup Whatsapp bagi tujuan liputan.

Abidin akan menentang calon Kerajaan Perpaduan iaitu bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara, Joohari Ariffin dalam PRK Sungai Bakap.

PRK DUN Sungai Bakap diadakan berikutan kematian Nor Zamri pada 24 Mei lepas akibat penyakit keradangan dalam perut.

Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos lepas menentang calon Pakatan Harapan, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi. Beliau mendapat 15,433 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai depan sebagai hari mengundi bagi PRK Sungai Bakap. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here