Kira-kira 300 penduduk di sekitar Batu Arang hadir pendengaran bantanhan penukaran penggunaan tanah untuk pembinaan insinerator, di sini hari ini.

SELAYANG – Kerajaan Negeri Selangor akan memastikan cadangan projek pembinaan insinerator (WTE) Sultan Idris Shah di Batu Arang mematuhi  segala prosedur dan undang-undang yang ditetapkan.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Datuk Ng Suee Lim berkata, ia termasuklah melibatkan semua laporan penilaian impak alam sekitar (EIA) dan sosial (SIA) ke atas projek itu.

“Saya cuma nak bagi tahu kita akan mengikut proses yang betul dan tidak akan melanggar undang-undang walaupun Pengurusan Sisa KDEB adalah milik syarikat di bawah kerajaan negeri Selangor.

“Kita tidak akan biarkan mereka membuat sesuatu dengan sewenang-wenangnya. Kalau mereka lepas, lepas (kelulusan), kalau tidak lepas terpaksa kita ubah pemikiran itu.

“Usah khuatir dan kita beri banyak ruang pada rakyat untuk suarakan dan pembangkang juga akan gunakan isu ini di peringkat dewan negeri,” katanya.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Datuk Ng Suee Lim mengambil memorandum penduduk di sekitar Batu Arang yang membantah penukaran penggunaan tanah untuk pembinaan insinerator.

Beliau berkata demikian pada media selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Siasatan Tempatan dan Pendengaran (JKSTP) di sini, hari ini.

Ia turut dihadiri 300 penduduk di sekitar Batu Arang yang membantah penukaran penggunaan tanah untuk pembinaan insinerator.

Mengulas mengenai jangkaan keputusan perbicangan itu, Suee Lim berkata, ia mungkin mengambil masa selama dua bulan kerana kini masih berada di peringkat awal.

“Ia akan ada peringkat perubahan untuk perundingan sahaja dan apabila selesai, kita akan bawa ke peringkat EIA yang mungkin ambil masa lebih kurang setahun.

“Kemudian EIA akan ada slot bantahan, melibatkan peringkat bahagian alam sekitar dan sekiranya perkara itu tidak dapat atau tidak diluuskan maka ia tidak akan jadi (pembinaan) juga,” jelasnya.

Jurucakap Jaringan Rawang Tolak Insinerator (JRTI), Abdul Hanan Abd Mokti.

Sementara itu, Jurucakap Jaringan Rawang Tolak Insinerator (JRTI), Abdul Hanan Abd Mokti berkata, seramai 16 individu telah mengemukan lapan bantahan berhubung pembinaan insinerator ketika sesi pendengaran berlangsung.

Antara bantahan yang dikemukakan adalah infratsuktur, ekosistem penduduk, pencemaran udara dan air, nilai hartanah yang merundum, serta geologi tanah di sekitar kawasan Batu Arang.

“Ini kali pertama kerajaan negeri iaitu Exco negeri membuka pintu untuk berbincang dengan JRTI dan pelbagai imput profesional daripada ahli kami telah dikemukakan untuk bantahan ini.

“Bagaimanapun, secara keseluruhannya agak sukar untuk kita nyatakan sama ada proses ini berjaya membuka mata pihak berwajib untuk membenarkan perubahan status guna tanah ini dan seterusnya membuka jalan kepada projek ini diteruskan.

“Pada masa sama, kita juga tidak tahu apa kriteria yang digunkana Majlis Perbandaran Selayang (MPS) untuk meluluskan atau tidak, perubahan guna tanah ini. Kita cuma tunggu dan lihat apa sahaja hasil daripada proses ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast