Gambar hiasan

IPOH – Seorang jurujual menanggung kerugian RM904,000 selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan saham secara atas talian di laman sosial Facebook.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, mangsa seorang lelaki berusia 51 tahun telah membuat laporan polis pada Isnin selepas mendapati dirinya ditipu.

“Siasatan awal mendapati pada 15 April, mangsa berada di rumahnya, telah terlihat satu iklan pelaburan di laman sosial Facebook, menekan pautan dan terus berurusan secara WhatsApp dengan seorang perempuan.

“Pada 1 dan 12 Mei, mangsa telah masukkan wang ke dalam dua akaun bank berlainan di atas nama dua buah syarikat berjumlah RM904,000,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurut Mohd Yusri, jurujual berkenaan menyedari beliau ditipu selepas tidak mendapat pulangan seperti yang dijanjikan.

Tambahnya kes disiasat di Bawah seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Pihak polis mengingatkan orang ramai untuk sentiasa berwaspada dan melaksanakan semakan yang lebih terperinci sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan terutama yang menjanjikan keuntungan yang cepat dan terlalu lumayan.

“Semakan boleh dibuat di pelbagai platform yang disediakan seperti PDRM, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia,”ujarnya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here