Wan Saiful Wan Jan

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini diberitahu terdapat transaksi kemasukan wang berjumlah RM78,800 daripada Wan Saiful & Associates Sdn Bhd ke akaun sebuah syarikat automobil.

Pengurus Perkhidmatan Perbankan di Public Bank, Low Mong Tuan berkata, transaksi itu dilakukan atas nama Tagami Auto Enterprise Sdn Bhd di cawangan bank itu di Sg Chua, Hulu Selangor.

Kata Mong Tuan, terdapat dua penandatangan yang dibenarkan untuk akaun ini iaitu Yet Kam Looi dan Thin Poh Sin.

“Tetapi akaun ini hanya memerlukan satu daripada dua tandatangan,” katanya ketika membaca keterangan saksi di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayob hari ini.

Bagaimanapun, ketika disoal balas oleh peguam mewakili tertuduh, Chetan Jethwani, Mong Tuan berkata, beliau tidak pasti samada transaksi tersebut mencurigakan.

“Saya tidak pasti sehingga menerima e-mel daripada pejabat atasan yang menyatakan dokumen berhubung transaksi tersebut perlu diberikan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Hanya selepas pegawai penyiasat bercakap dengan saya, barulah saya tahu,” katanya.

Wan Saiful didakwa sebagai Pengarah Syarikat WA Advisory Group Sdn Bhd telah memindahkan wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM78,800 daripada akaun CIMB Bank Berhad milik syarikat itu ke akaun Public Bank Berhad milik syarikat Tagami Auto Enterprise Sdn Bhd.

Wang itu adalah pembelian sebuah kereta jenis Ford Ranger.

Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor didakwa meminta suapan wang daripada Lian Tan Chuan sebagai dorongan untuk membantu Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur daripada Kerajaan Malaysia secara prakelayakan yang bernilai RM232 juta.

Beliau juga didakwa menerima wang tunai RM6,962,694.54 melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya WSA Advisory Group Sdn Bhd daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Nepturis Sdn Bhd sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan Surat Setuju Terima bagi projek tersebut.

Wan Saiful turut berdepan 18 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM5.59 juta dengan memindah dan menggunakan wang hasil aktiviti haram itu antaranya membayar pembelian kenderaan jenis Ford Ranger, pembayaran kepada Majlis Sukan Negara Malaysia selain memindahkan wang itu ke beberapa akaun syarikat termasuk milik Sinar Karangkraf Sdn Bhd.

Kesemua kesalahan didakwa dilakukan di Cawangan CIMB Bank Berhad Bukit Tunku di sini antara 12 Ogos dan 13 Nov 2022 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Prosiding akan bersambung pada 10 Julai depan. -MalaysiaGazette