PPS di Stadium Sultan Abdul Halim Mukim Suka Menanti Kedah.Foto JKM

KUALA LUMPUR – Jumlah mangsa banjir di Kedah terus bertambah kepada 6,760 orang setakat 8 malam ini, meningkat berbanding 6,575 orang petang tadi manakala situasi di Perlis dan Pulau Pinang bertambah baik.

Menurut laporan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kesemua mangsa di KEDAH melibatkan 2,171 keluarga dan mereka ditempatkan di 41 pusat pemindahan sementara (PPS).

Daerah Kota Setar mencatatkan jumlah mangsa teramai iaitu 3,003 orag, diikuti Kubang Pasu (1,602), Pendang (933 orang), Pokok Sena (910 orang), Kuala Muda (184 orang) dan Bandar Baharu 128 orang manakala dua PPS di daerah Kulim ditutup sepenuhnya petang tadi.

Sementara itu, laman sesawang Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan paras air di enam sungai berada pada paras bahaya.

Sungai tersebut adalah Sungai Padang Terap di Kepala Batas, Sungai Bata di Kampung Bata, Sungai Laka di Kampung Padang Pasir di Kubang Pasu serta Sungai Anak Bukit di Taman Aman, Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR dan Sungai Kedah di Jambatan Lebuhraya, Kota Setar.

Di PULAU PINANG, dua PPS ditutup petang tadi iaitu Sekolah Agama Rakyat Nyior Sebatang di Seberang Perai Utara (SPU) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permatang Pasir.

Setakat 8 malam ini, 427 orang masih berlindung di lima PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Menora, SK Lahar Yooi, Pusat Penempatan Banjir Labuh Banting, Sekolah Rendah Islam Maahad At Tarbiah Guar Jering dan Dewan MPKK Sanglang.

Keadaan banjir di PERLIS juga semain baik apabila jumlah mangsa berkurang daripada 108 orang petang tadi kepada 90 setakat 8 malam ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perlis Lt Kol (PA) Mohd Izaimi Md Daud berkata kesemua mereka berada di tiga PPS iaitu SK) Sena di Kangar dan SK Dato Ahmad Musa serta SK Kubang Gajah di Arau.

Di SELANGOR, seramai 101 masih berlindung di PPS Institut Pengurusan Peladang Tanjong Karang yang dibuka sejak semalam susulan kejadian air pasang besar di Kampung Baru Lembah Pantai.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM)  Selangor memaklumkan keadaan air semakin surut namun pemantauan terus dilakukan. – BERNAMA