Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail menunjukkan kejayaan pihak Kastam merampas penyeludupan air zam zam, minuman keras, rokok, ‘glazed porcelain tiles’ dan ‘sex toys’ bernilai lebih RM730,000 ketika sidang media di Pejabat Kastam Pelabuhan Utara. Foto MOHD ADZLAN, 27 JUN 2024. Foto MOHD ADZLAN, 27 JUN 2024.

PELABUHAN KLANG – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah Unit II (Selangor) berjaya menyekat penyeludupan pelbagai barang kontraband termasuk alat mainan seks berjumlah RM730,530 dalam serbuan di Lembah Klang antara 21 Mei hingga 20 Jun lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail berkata, salah satu rampasan itu melibatkan barang dagangan disyaki air zam-zam sebanyak 4,685 liter dengan anggaran nilai dan duti berjumlah RM117,200.

“Pada 21 Mei lalu, Bahagian Penguatkuasaan JKDM Zon Tengah telah membuat serbuan dan pemeriksaan ke atas sebuah gudang di Shah Alam.

“Hasil pemeriksaan menemukan sejumlah dagangan disyaki air zam-zam dan tiada sebarang permit import yang dikemukakan pengurus gudang terbabit. Air zam-zam atau air mineral adalah barang larangan.

“Pengimport hanya dibenarkan dengan syarat mempunyai lesen import di bawah Butiran 35, Bahagian I, Jadual III, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023,” katanya pada sidang media di Pejabat Kastam Pelabuhan Klang Utara, di sini, hari ini.

Selain itu, katanya, JKDM juga merampas 644.64 liter minuman keras bersama sebuah kenderaan motovan bernilai RM58,900 dalam satu serbuan ke atas sebuah premis tidak berpenghuni di Taman Tasik Indah, Kuala Lumpur pada 20 Jun lalu.

“Hasil pemeriksaan mendapati sebuah kenderaan motovan yang diparkir di dalam kawasan tersebut menemukan sejumlah minuman keras pelbagai jenama tidak berkastam.

“Minuman keras adalah barang larangan di mana pengimportannya dibenarkan dengan syarat setiap botol atau tin dilekatkan dengan setem cukai yang diluluskan Ketua Pengarah Kastam.

“Jumlah duti dan cukai yang terlibat ke atas minuman keras dianggarkan berjumlah RM15,600,” katanya.

Menurut beliau, rampasan ketiga membabitkan 620,000 batang rokok dengan anggaran nilai dan duti serta cukai berjumlah RM463,800 dalam satu serbuan di sebuah gudang di Pelabuhan Klang Utara di sini, 13 Jun lalu.

“Hasil pemeriksaan ke atas gudang berkenaan telah menemukan sejumlah rokok pelbagai jenama dipercayai tidak mempunyai permit import dengan jumlah duti dan cukai berjumlah RM414,200,” katanya.

Katanya, bagi serbuan keempat pula, JKDM merampas 50,000 batang rokok dengan nilai dan duti serta cukai berjumlah RM41,300 yang ditemukan di sebuah premis tidak berpenghuni di Seri Kembangan pada 20 Jun lalu.

“Nilai dagangan dianggarkan sebanyak RM7,500 manakala jumlah duti dan cukai yang terlibat berjumlah RM33,800,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, JKDM juga merampas “glazed porcelain tiles” berjumlah 2,816 keping dengan anggaran nilai serta duti dan cukai berjumlah RM40,100 yang ditemukan dalam sebuah kontena di Pelabuhan Klang Utara, di sini, 4 Jun lalu.

“Glazed porcelain tiles adalah barang larangan dan ia hanya dibenarkan pengimportannya dengan syarat mempunyai sijil dari Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).

“Nilai dagangan dianggarkan sebanyak RM22,800 manakala jumlah cukai serta duti dan cukai pula berjumlah RM17,300,” katanya.

Bagi serbuan keenam pula membabitkan rampasan 200 unit alat mainan seks dengan anggaran nilai berjumlah RM9,230 dalam serbuan ke atas sebuah gudang di Shah Alam pada 4 Jun lalu.

“Hasil pemeriksaan ke atas gudang berkenaan telah menemukan sejumlah alat mainan seks pelbagai jenis dan jenama yang merupakan barang larangan,” katanya.

Katanya lagi, kesemua rampasan itu sedang disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang dari 10 kali ganda nilai barangan itu.

“Jika sabit kesalahan, boleh didenda RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih dari 20 kali ganda nilai barangan itu atau RM500,000 yang mana lebih besar atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here