Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail beramah mesra bersama peserta pada Larian Hari Polis sempena Peringatan Hari Polis ke-217 di Dataran Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 06 JULAI 2024.

PUTRAJAYA – Kerajaan ketika ini hanya memberi fokus untuk mendapatkan semula aset pentadbiran daripada ahli perniagaan yang diburu, Low Taek Jho atau Jho Low daripada Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, apa-apa penjanjian DOJ dengan Jho Low adalah di luar bidang kuasa kerajaan.

“Fokus kita adalah penghantaran pulang aset itu sahaja dan kita difahamkan ada penyelesaian di antara DOJ dan Jho Low.

“Itu urusan DOJ tetapi bila aset dikembalikan kepada DOJ dan membabitkan aset negara kita, fokus kita kepada penghantaran pulang aset dan itu keutamaan kita ketika ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Larian Hari Polis sempena Peringatan Hari Polis ke-217 di Dataran Putrajaya di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan Jho Low yang terlibat dalam penyelewengan dana 1MDB bersetuju memulangkan harta berjumlah AS$100 juta atau kira-kira RM471 juta, baru-baru ini.

Media melaporkan lucuthak itu telah diumumkan oleh Jabatan Kehakiman DOJ selepas Hakim Daerah AS, Dale Fischer di Los Angeles meluluskan perjanjian persetujuan dengan Jho Low serta keluarganya pada Isnin lalu.

Antara yang diserahkan oleh Jho Low termasuk sebuah apartment mewah di Paris dan karya seni daripada Claude Monet dan Andy Warhol dengan nilai mencecah ratusan juta ringgit.

DOJ menyatakan bahawa Jho Low membayar kira-kira AS$35 juta (RM146.57 juta) untuk lukisan Monet ‘Vetheuil au Soleil’, lukisan Warhol ‘Colored Campbell’s Soup Can (Emerald Green) 1965 dan apartmen di Paris.

Dia dan keluarganya difahamkan akan menyerahkan harta berjumlah AS$67 juta (RM280.47 juta), termasuk hartanah dan akaun bank di Hong Kong, Singapura dan Switzerland.

Sebelum ini beberapa aset sudah dilucuthakkan dengan nilaian hampir AS$1 bilion (RM4.19 bilion), termasuk ‘superyatch’ bernilai AS$120 juta (RM503 juta) milik Jho Low dan keluarganya. – MalaysiaGazette