Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.

KUALA LUMPUR – Tiga anggota polis termasuk seorang Ketua Balai merupakan antara 14 individu yang ditahan dalam serbuan di sebuah hiburan di Taman Dutamas, Cheras, awal pagi Sabtu.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussien Omar Khan berkata, ketiga-tiga polis berkenaan yang berusia antara 37 dan 57 tahun itu turut disahkan positif dadah.

Menurut beliau, ketiga-tiganya bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah kajang.

“Hasil pemeriksaan dan ujian saringan air kencing mendapati 14 orang ditahan itu positif dadah termasuk tiga anggota polis terbabit.

“Kesemua mereka kini ditahan reman selama dua hari bermula semalam sehingga hari ini untuk membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Hussien memaklumkan, ketiga-tiga anggota terbabit telah ditukarkan ke Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor berkuatkuasa serta merta, sementara menunggu siasatan selesai.

Tambahnya, tindakan dalaman Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga akan dikenakan terhadap ketiga-tiga anggota berkenaan.

“Pegawai dan anggota adalah dilarang berada di pusat hiburan kecuali atas urusan tugas.

“Tindakan tegas termasuk pertuduhan jenayah akan diambil ke atas mana-mana pegawai dan anggota yang melanggar arahan termasuk terbabit penyalahgunaan dadah,” katanya.

Semalam, terdapat laporan mengatakan seorang ketua balai polis dan dua anggotanya ditahan polis kerana didapati berhibur di sebuah pusat hiburan di ibu negara.

Serbuan dijalankan oleh sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPK Selangor selepas menerima maklumat tersebut. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast