Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bercakap kepada media selepas melakukan gimik perasmian Larian Hari Polis sempena Peringatan Hari Polis ke-217 ketika di Dataran Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 06 JULAI 2024.

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan meneliti pendedahan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengenai dua sistem pengurusan pekerja asing yang melaksanakan fungsi sama.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penelitian itu akan mengambil kira semua aspek yang menentukan sama ada satu sistem itu akan dimansuhkan atau sebaliknya.

Menurut beliau, empat falsafah menjadi kriteria dengan tumpuan kepada pengurangan kos migran, mempercepatkan proses kelulusan, menjaga kebajikan pekerja asing dan menjaga keperluan majikan.

“Ia bagi menjaga kebajikan pekerja asing kerana mereka sudah tinggalkan kampung halaman untuk bekerja di sini, jadi ia menjadi tanggungjawab kita.

“Berkaitan majikan pula, mereka sudah berbelanja banyak dan mereka mesti mendapatkan perkhidmatan yang terbaik.

“Berpandukan empat kerangka ini, menjadi kewajipan kami untuk menambah baik amalan yang digunakan kini apa sahaja dapatan termasuk oleh PAC,” katanya.

Beliau berkata pada sidang media selepas Larian Hari Polis sempena Peringatan Hari Polis ke-217 di Dataran Putrajaya di sini, hari ini.

Rabu lalu, PAC mendapati berlaku pertindihan fungsi antara agensi dalam membangunkan dua sistem pengurusan pekerja asing sekali gus dilihat membazirkan wang awam yang diluluskan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 2015.

Ia membabitkan Sistem Pengurusan Pekerja Asing Bersepadu (ePPAx) dan Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan KDN.

Laporan itu mendedahkan sistem FWCMS digunakan selama lebih kurang enam tahun tanpa kontrak yang dimuktamadkan dan ia jelas melanggar peraturan ditetapkan kerajaan.

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dilaporkan berkata, wujudnya kelemahan dalam pengurusan kawalan ‘Identification’ (ID) dalam sistem FWCMS itu dan laporan telah dibuat kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya satu siasatan dijalankan. – MalaysiaGazette