Jaguh catur Bangladesh, Ziaur Rahman Foto: FB

DHAKA- Jaguh catur Bangladesh, Ziaur Rahman meninggal dunia Jumaat lepas, selepas mengalami strok dan tumbang ketika sedang bersaing di kejuaraan kebangsaan.

Ketua Setiausaha Persekutuan Catur Bangladesh, Shahab Uddin Shamim memberitahu AFP, lelaki berusia 50 tahun itu tumbang ketika pusingan ke-12 menentang Enamul Hossain sebelum disahkan meninggal di sebuah hospital di Dhaka.

“Pemain dan pegawai yang berada di dewan berkenaan segera membawa beliau ke hospital. Bagaimanapun, disahkan meninggal dunia oleh para doktor sebaik tiba di sana,” kata Shamim.

Menurut Emanul, mereka mengambil masa beberapa saat untuk menyedari Ziaur sedang mengalami strok yang teruk.

“Ketika masih bermain, beliau tidak nampak sakit,” kata Enamul.

“Kejadian berlaku semasa giliran saya untuk bermain. Jadi, apabila saya nampak beliau menunduk, saya ingatkan beliau mahu mengambil botol air di bawah. Tetapi kemudiannya beliau tumbang dan kami segera membawanya ke hospital.

“Anak lelaki beliau sedang bermain catur di meja sebelah,” katanya lagi.

Ziaur pernah memenangi kejuaraan kebangsaan sebanyak beberapa kali dan mewakili Bangladish dalam Olimpiad Catur ke-44 di India pada 2022.- AFP