Arca berbentuk manusia yang lengkap yang ditemui di Tapak Warisan Arkeologi Bukit Choras, Yan, Kedah.

KUALA LUMPUR – Pasukan penyelidik Pusat Penyelidikan  Arkeologi Global (PPAG) Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini sekali lagi melakar sejarah penting dalam bidang arkeologi negara menerusi penemuan arca berbentuk manusia lengkap di Tapak Warisan Arkeologi Bukit Choras, Yan, Kedah.

Arca Buddha bersaiz manusia itu diperbuat daripada stucco iaitu sejenis bahan campuran kapur, air dan pasir yang ditemui di dinding utara candi di Bukit Choras.

Berbeza dengan arca yang ditemui pada penyelidikan terdahulu, arca kali ini ditemui lengkap bersama kepala dengan ciri-ciri ikonografi seperti jubah, riak wajah dan pakaian dapat dilihat dengan jelas.

Turut ditemukan adalah sebuah prasasti Sanskrit yang diukir di atas badan batu serta serpihan tembikar tanah.

Sebahagian artifak yang ditemukan penyelidik PPAG USM di Tapak Warisan Arkeologi Bukit Choras, Yan, Kedah.

Selain itu, ekskavasi yang sama turut mendedahkan struktur binaan pada bahagian dinding utara dan barat candi Bukit Choras sehingga memperlihatkan dengan jelas struktur utama candi itu yang mempunyai seni bina unik.

Penemuan terkini di Tapak Arkeologi Bukit Choras itu sekali gus membuka ruang kepada tafsiran baharu mengenai kedudukan geostrategik Kedah Tua sebagai sebuah kota penting dalam jalur perdagangan maritim Asia Tenggara.

Penyelidikan arkeologi fasa tiga itu ialah hasil kerjasama bersama Jabatan Warisan Negara (JWN) diketuai oleh Dr. Nasha Rodziadi Khaw yang juga merupakan Pensyarah Kanan Pusat Penyelidikan  Arkeologi Global (PPAG) USM, yang berlangsung pada 21 April hingga 21 Mei lalu.

Sementara itu, Naib Canselor USM, Prof. Datuk Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, USM akan terus membantu JWN meningkatkan lagi kualiti penyelidikan dan konservasi secara saintifik melalui makmal dan peralatan canggih yang terdapat di PPAG.

“Penyelidikan yang lebih saintifik dan menyeluruh semestinya dapat memberikan nilai tambah kepada artifak dan pameran di bawah pengurusan JWN supaya dapat menambah ilmu pengetahuan yang baharu tentang sejarah dan warisan negara kepada orang ramai,” katanya.

Secara keseluruhannya, sehingga penyelidikan fasa tiga, sebanyak tiga buah prasasti telah ditemui di Bukit Choras.

Kandungan prasasti tersebut mengandungi mantra sagaramatipariprecha (menceritakan tentang doktrin agama buddha yang berkait rapat dengan kekosongan, sebab musabab dan sifat-sifat yang dimiliki oleh Buddha) sama seperti isi kandungan prasasti yang ditemui pada fasa satu sebelum ini. – MalaysiaGazette