Timbalan Pengarah Pendidikan Pahang, Ahmad Zamri Md Isa (tengah) bersama wakil JPN Pahang menunjukkan keputusan STPM 2023

KUANTAN – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dong, Raub mengekalkan prestasi cemerlang yang dicapainya pada 2022 apabila dinobatkan sebagai sekolah terbaik peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2023 di Pahang.

Timbalan Pengarah Pendidikan Pahang, Ahmad Zamri Md Isa berkata, sekolah itu melahirkan calon paling ramai yang memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 iaitu sembilan orang daripada keseluruhan 106 orang di seluruh negeri itu.

“SMK Dong, Raub dengan bilangan 32 orang calon menduduki peperiksaan berjaya mengekalkan kedudukan sekolah terbaik peringkat negeri dengan memperoleh Gred Purata Sekolah (GPS) 3.52.

“Diikuti SMK Jerantut, Jerantut (3.50); SMK Padang Saujana, Jerantut (3.44); SMK Triang, Bera (3.31); SMK Seri Rompin, Rompin (3.30); SMK Sulaiman, Bentong, (3.29) dan SMK Seri Raub, Raub (3.28),” katanya.

Ahmad Zamri berkata demikian pada Sesi Libat Urus Pengumuman Keputusan STPM 2023 Negeri Pahang, di sini hari ini.

Ahmad Zamri Md Isa

Sementara itu, Ahmad Zamri berkata, peperiksaan tahun lalu merupakan kali pertama Pahang melepasi GPS 3.00 dalam tempoh hampir 10 tahun dan kekal mengatasi Gred Purata Kebangsaan (GPN) 2.84.

Menurut beliau, jumlah calon yang memperoleh PNGK 4.00 di Pahang mencatatkan peningkatan 1.58 peratus berbanding tahun sebelum itu.

“Bagi tahun 2023, seramai 1,974 orang calon sekolah kerajaan telah mendaftar untuk meenduduki peperiksaan STPM berbanding 2,076 calon pada tahun 2022.

“Seramai 1,936 orang calon atau 99.69% telah mendapat kelulusan penuh iaitu mendapat sekurang-kurangnya satu mata pelajaran lulus penuh,” katanya.

Menurut Ahmad Zamri, peningkatan GPS kepada 3.03 mata pada 2023 meletakkan Pahang berada di landasan yang betul untuk terus mampan mencapai kejayaan dalam peperiksaan STPM. – MalaysiaGazette