Gambar dikongsikan Wan Rosdy menunjukkan beliau mempengerusikan mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan di Wisma Sri Pahang, pagi tadi. Gambar: Facebook Wan Rosdy Wan Ismail.

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail memulakan tugas hari ini selepas menjalani prosedur pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN) sejak 7 Jun lalu.

Beliau mempengerusikan mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK), di Wisma Sri Pahang pagi tadi.

“Setelah sekian lama bercuti selepas menjalani pembedahan di IJN pada 7 Jun lalu, alhamdulillah hari ini saya memulakan tugas mempengerusikan mesyuarat MMK di Wisma Sri Pahang, Kuantan.

“Saya juga telah menyerahkan surat penempatan dan pertukaran Ketua Jabatan di bawah Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Pahang berkuatkuasa 1 Ogos 2024,” katanya menerusi perkongsian terbaharu di Facebook.

Beberapa keping gambar yang menunjukkan beliau  dalam mesyuarat berkenaan turut dikongsikan di laman sosialnya itu.

Pada 14 Jun lalu, Wan Rosdy dibenarkan pulang ke rumah selepas menjalani prosedur pembedahan di institut tersebut.

Difahamkan, beliau hanya akan berada di pejabat, menghadiri mesyuarat dan tidak terbabit program luar setakat ini. – MalaysiaGazette