Gambar ihsan Bomba Pahang

KUANTAN – Sepasang suami isteri maut manakala dua anak mereka cedera parah dalam nahas membabitkan sebuah kereta dan sebuah kenderaan pacuan empat roda di KM350 Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu, di Raub malam tadi.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Mohd Shahril Abdul Rahman berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada pukul 10.20 malam.

Beliau berkata, ketika kejadian, kereta jenis Proton Wira dinaiki empat sekeluarga itu dari arah susur keluar lebuhraya CSR Raub menghala ke Dong.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, semasa hendak meneruskan perjalanan selepas lampu isyarat bertukar hijau, tiba-tiba kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dari arah Lipis merempuh dari arah tepi kanan,” katanya.

Akibat rempuhan terbabit, pemandu Proton Wira itu, Muhamad Anasar Kamarozaman, 34 dan isterinya, Zalina Ali, 40 meninggal dunia di tempat kejadian.

Mohd Shahril berkata, hasil siasatan awal mendapati kemalangan berpunca apabila pemandu pacuan empat roda itu melanggar lampu isyarat merah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Terdahulu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub Azain Uzir melaporkan pemandu kereta Proton Wira itu dan penumpang wanita yang tersepit berjaya dikeluarkan bomba.

Bagaimanapun, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi.

Kedua-dua anak mangsa yang turut berada dalam kereta itu bagaimanapun cedera parah dan dihantar ke Hospital Raub untuk menerima rawatan lanjut. – MalaysiaGazette