Keadaan kenderaan pikap jenis Toyota Hilux remuk bahagian kanan dan depan yang dinaiki oleh lima lelaki dalam nahas selepas bertembung dengan sebuah treler di Temerloh petang tadi

TEMERLOH – Dua lelaki maut setelah pikap dinaiki bertembung dengan sebuah treler di Kilometer 145 Jalan Kuala Lumpur – Kuantan, hari ini.

Ketua Polis Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, dalam kejadian jam 1.20 tengahari itu pemandu berusia 79 tahun dan penumpang berusia 46 tahun meninggal dunia di lokasi kemalangan manakala tiga lagi penumpang pikap itu selamat.

”Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu kenderaan pikap dari arah Kuantan menghala ke arah Kuala Lumpur.

”Apabila perjalanan sampai di lokasi kemalangan treler itu masuk  di laluan bertentangan dan bertembung pikap.

”Akibat dari perlanggaran tersebut pemandu dan seorang penumpang kenderaan Toyota Hilux telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Sementara itu katanya, tiga lagi penumpang dalam kenderaan berkenaan mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) Temerloh.

”Mangsa sedang menerima rawatan di zon merah (zon kritikal) dan zon kuning (separa kritikal). Bagaimanapun semua mangsa berada dalam keadaan stabil.

”Manakala pemandu treler kontena jenis Hino tidak mengalami kecederaan,” tambahnya.

Kedua-dua mayat dihantar ke Unit Forensik HOSHAS bagi tujuan bedah siasat yang akan dilakukan selepas ujian calitan Covid-19.

Mazlan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu seramai sembilan anggota  Balai Bomba Penyelamat Mentakab telah digerakkan ke lokasi kejadian bersama jentera FRT dan kenderaan Unit EMRS sebaik menerima panggilan.

Komander Operasi, PBK II Zam Zam Mohamad melaporkan, mangsa yang tersepit dan telah dikeluarkan oleh pasukan bomba dengan menggunakan peralatan menyelamat. – MalaysiaGazette