KUANTAN – Pemergian bekas Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat, Allahyarhamah Tan Sri Dr Siti Zaharah Sulaiman merupakan satu kehilangan besar kepada negara.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata Allahyarham yang merupakan bekas Ketua Wanita UMNO dan juga bekas Ahli Parlimen Paya Besar itu telah banyak mencurahkan jasa dan bakti ketika perkhidmatannya.

”Innalillahiwainnalillahirajiun. Salam takziah saya ucapkan kepada keluarga Allahyarhamah Tan Sri Dr Siti Zaharah Sulaiman yang telah meninggal dunia kira-kira jam 11.23 malam tadi.

.”Pemergian Allahyarhamah merupakan satu kehilangan besar kepada negara, negeri Pahang dan juga UMNO kerana banyak jasa telah Allahyarhamah curahkan sepanjang hayatnya.

”Semoga roh Allahyarhamah Tan Sri dicucuri rahmat Allah SWT, diampunkan segala dosa serta ditempatkan bersama-sama orang yang beriman dan beramal soleh, Al-Fatihah.” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sementara itu kehilangan besar figura dan tokoh kepimpinan wanita dalam negara itu juga dikongsi oleh Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah.

Katanya,beliau sempat menziarahi Allahyarhamah semasa menerima rawatan di Hospital Shah Alam, Selangor.

” Innalillahiwainalillahirajiun. Saya dikhabarkan YBhg Tan Sri Dr Siti Zaharah Sulaiman, Mantan Ahli Parlimen Paya Besar telah meninggal dunia pada 11.23 malam, semalam.

“Beliau empat juga beliau titipkan pesanan dan nasihat buat saya. Satu kehilangan buat kami Paya Besar.Takziah buat seluruh ahli keluarga Allahyarhamah,” katanya.

Siti Zaharah yang juga Pengerusi Institut Kemajuan Wanita Malaysia (IKWAM) dilahirkan pada 24 April 1949 dan pernah memegang beberapa jawatan penting dalam kerajaan antaranya Timbalan Perancangan, Dewan Bahasa dan Pustaka (1980-1986), Timbalan Menteri, Jabatan Perdana Menteri (1986), Timbalan Menteri Kesihatan (1995-1999) dan Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat (1999-2004).

Dalam politik, beliau pernah memegang jawatan Ketua Wanita UMNO Pahang, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Ahli Parlimen Mentakab, Ahli Parlimen Paya Besar dan Ketua Wanita UMNO. – MalaysiaGazette