Mejar Dr. Hafiz Zulariffin Zulkarnain (kiri) bersama isterinya

KUANTAN – “Tak sangka dan masih terkejut.”

Begitu luahan penerima Anugerah Khas Belia Kerajaan Negeri Pahang (Anugerah Khas Diraja) sempena Hari Belia Negara Peringkat Negeri Pahang, Mejar Dr. Hafiz Zulariffin Zulkarnain, 33.

Hafiz yang bertugas sebagai Pegawai Perubatan Kanan, Malaysian Battalion (Malbatt) 850-11 mengakui masih mengalami gangguan ritma harian selepas baru tiba dari Lubnan semalam.

“Saya sebenarnya tak sangka pun dapat. Saya kan tengah bertugas di luar negara. Tiba-tiba dapat panggilan beritahu bahawa Tuanku titah untuk terima Anugerah Diraja sempena Hari Belia ni,” katanya ketika ditemui di Wisma Belia, di sini hari ini.   

Bapa kepada dua anak itu juga tidak dapat mengulas bagaimana beliau dipilih menerima anugerah yang disampaikan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah di sini hari ini.

Bagaimanapun, katanya yang berasal dari Mentakab, Temerloh itu, buat masa ini, beliau merupakan satu-satunya pegawai perubatan yang turut mempunyai kursus asas komando di Malaysia.

“Selain ada kursus asas komando, saya pernah jadi Pegawai Koordinasi untuk perubatan bersama Eksesais Keris Aman II 2023 yang melibatkan 26 buah negara, tentera daripada luar negara,”ujarnya lagi.

Selain trofi dan sijil penganugerahan, Hafiz turut menerima saguhati bernilai RM15,000.

Selain Hafiz, penerima kategori Anugerah Khas Belia dimenangi Siti Hawa Apandi, 35 bagi Anugerah Khas Belia Orang Kurang Upaya (OKU).

Masih melanjutkan pelajaran di peringkat PHD dalam bidang Pengajian Komputer, anak ketiga daripada lima beradik itu berazam untuk menyebar luaskan kesedaran berkenaan cabaran yang dihadapi golongan OKU di negara ini.

Siti Hawa Apandi bersam ibu bapanya menunjukkan sijil penganugerahan, trofi dan mock check diterimanya

“Kita ada buat program Webinar membincangkan topik kesedaran tentang cabaran yang dihadapi golongan OKU di negara ini.

“Objektif kita nak bagi kesedaran lebih meluas kepada orang ramai lebih-lebih lgi berkenaan kemudahan fasiliti buat golongan OKU. Mungkin apabila orang ramai cakna mengenai kepayahan yang dihadapi golongan seperti kami, mungkin fasiliti boleh ditambah baik,” katanya.

Selain Anugerah Khas Belia Kerajaan Negeri Pahang, sembilan individu turut menerima Anugerah Perdana Belia Negara Peringkat Negeri Pahang membabitkan tiga kategori.

Pemenang anugerah kali ini telah dinilai dan dipilih oleh panel penilai yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing sebelum dipersetujui oleh Jawatankuasa Pengesahan Pemenang.

Tahun ini, antara penerima termasuk Ahli Dewan Undangan (ADUN) Chini, Mohd Sharim Md Zain (Anugerah Khas Jasa Belia) dan ADUN Tioman, Kapt (B) Datuk Seri Mohd Johari Hussain (Anugerah Khas Tokoh Belia). – MalaysiaGazette