Gambar tular menunjukkan seekor kucing berada dalam keadaan tergantung di belakang sebuah pacuan empat roda dalam kejadian di Simpang Ampat, Pulau Pinang.

NIBONG TEBAL – Pemandu pacuan empat roda yang tular mengheret kucing dalam kejadian di Simpang Ampat di sini mendakwa haiwan itu tergantung selepas cuba keluar daripada kenderaan tanpa disedarinya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Chong Boo Khim berkata, hasil siasatan mendapati lelaki tempatan itu menemui seekor kucing jalanan berhampiran rumahnya dalam keadaan tidak terurus sebelum membawa haiwan berkenaan ke klinik untuk dimandulkan.

“Lelaki berkenaan membawa kucing itu dalam pacuan empat roda ke sebuah klinik haiwan di Simpang Ampat di sini namun dia tidak menyedari haiwan yang ditempatkan di bahagian belakang itu cuba melompat keluar sehingga berada dalam keadaan tergantung.

“Bagaimanapun, sebaik tiba di klinik berkenaan baru dia sedar keadaan haiwan itu sebelum segera membuk ikatan tali pada leher kucing tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Polis menerima satu laporan berkenaan kes tular tersebut pada jam 5.29 petang semalam.

Tambah Boo Khim, kes berkenaan telah diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) untuk siasatan lanjut.

“Sehubungan itu, kita harap orang ramai tidak manipulasikan kes viral yang boleh menyebabkan kekeliruan selain disarankan mendapatkan maklumat daripada sumber sahih,” katanya.

MalaysiaGazette semalam melaporkan JPV Pulau Pinang telah mengambil tindakan susulan video tular menunjukkan seekor kucing dijerut pada bahagian leher sebelum diseret menggunakan sebuah pacuan empat roda dalam kejadian di Simpang Ampat.

Pengarah JPV negeri, Dr. Saira Banu Mohamed Rejab berkata, pihaknya membuka kertas siasatan berhubung kejadian itu di bawah perenggan Akta Kebajikan Haiwan 2015. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast