Md Norhalim Md Amin

KLUANG – Percakaran secara terbuka merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota yang dikosongkan baru-baru ini tidak memberi sebarang keuntungan terhadap Kerajaan Perpaduan.

Bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kluang, Md Norhalim Md Amin berkata, perbalahan itu hanya merugikan malah
pihak lawan yang akan mendapat kelebihan.

Sehubungan itu, beliau berharap parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan tidak lagi menghantar ‘bola tanggung’ kepada pihak pembangkang.

“Ini kerana secara tidak langsung mampu menjadi peluru untuk membunuh calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota nanti.

“Apa yang sebaiknya adalah semua parti dalam Kerajaan Perpaduan mula mengatur langkah dengan merapatkan ukhwah bagi menjalankan gerak kerja secara besar-besaran,” katanya kepada pemberita hari ini.

Isnin lalu, Parti Amanah Negara (Amanah) Kluang dilaporkan mendesak supaya parti itu diberi peluang bertanding pada PRK DUN Mahkota sebagai calon Kerajaan Perpaduan.

Desakan Ketua Amanah Kluang, Dr Mohd Zuhan Mohd Zain itu berasaskan kemenangan parti tersebut pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) selain sekali lagi bertanding kerusi itu dalam pilihan raya negeri (PRN) pada 2022.

Mohd Zuhan dilaporkan berkata, jika UMNO Johor yang mentadbir kerajaan negeri sedia memberi jawatan dalam kerajaan negeri termasuk sebagai ahli majlis dan ketua kampung dan ketua masyarakat, Amanah sedia memberi laluan kepada UMNO untuk bertanding di kerusi  DUN Mahkota.

Susulan itu pemimpin UMNO dan DAP Johor mengeluarkan kenyataan mahu kerusi berkenaan dikekalkan kepada penyandangnya iaitu UMNO manakala pemuda Amanah pula berkeras mahu menuntut kerusi tersebut walaupun terpaksa bertanding tiga penjuru.

Mengulas lanjut, Md Norhalim berkata, melihat kepada situasi semasa, pihak berkenaan perlu memikirkan langkah untuk menangani masalah rakyat walaupun tidak secara total namun memberi kesan di hati pengundi.

Katanya, alasan Amanah untuk bertanding semula di kerusi DUN Mahkota adalah tidak relevan terutama apabila Pakatan Harapan (PH) sudah bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN).

“Pihak Amanah perlu tahu bahawa kawasan DUN Mahkota sudah sinonim dengan pemimpin daripada UMNO yang diibaratkan sebagai kerusi tradisi parti itu,” katanya.

Menurut Md Norhalim, kemenangan calon Amanah ketika menumbangkan Datuk Md Jais Sarday dalam PRU-14 tidak boleh diambil kira sebagai hak mereka.

Ujarnya, ini kerana dalam PRN, kerusi DUN Mahkota sudah berjaya dirampas semula oleh BN melalui wakil daripada UMNO iaitu Allahyarhamah Datuk Sharifah Azizah Syed Zain dan kerajaan negeri membentuk kerajaan BN selepas itu.

“Dalam PRK Simpang Jeram dan Pulai pula, BN telah pun memberikan laluan kepada wakil daripada Amanah untuk bertanding termasuk menghulurkan tenaga kerja membantu calon, apa salahnya mereka membalasnya dalam PRK DUN Mahkota,” katanya.- MalaysiaGazette