MAKKAH – Tiada apa yang lebih membahagiakan apabila dapat berkongsi rezeki dengan orang lain, ditambah di tempat barakah seperti Makkah al-Mukarramah.

Usaha syarikat pengendali umrah, Fa Izin Travel & Tours berkongsi rezeki dan membuka peluang kepada sesiapa sahaja untuk turut sama lagi-lagi pada hari Jumaat memberi makna tersendiri.

Bagi salah seorang jemaah yang turut sama, Saari Ismail, pengalaman mengagihkan makanan kepada yang memerlukan sangat memberi makna besar dalam dirinya.

“Alhamdulillah, ini peluang kedua saya, dulu dengan Tabung Haji, sekarang dengan Fa Izin.

“Saya rasa sangat seronok dan paling penting ia membuatkan saya semakin bersyukur pada Yang Maha Esa,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Jelasnya, walaupun perkara sama ada dilakukan di Malaysia, namun suasana dan perasaan di Makkah itu sangat sukar digambarkan.

“Susah kita lain, susah di sini sangat berbeza, lagi-lagi ini tanah haram,” katanya lagi.

Jemaah Fa Izin Travel & Tours, Saari Ismail bercakap kepada media selepas mengagihkan infak sabil kepada jemaah yang lain selepas selesai solat Jumaat ketika di Mekah, Arab Saudi. Foto MOHD ADZLAN, 09 OGOS 2024.

Sementara itu, mutawif Fa Izin Travel & Tours, ustaz Hasnol Abd Halim berkata, infak setiap hari Jumaat ini membuka peluang kepada sesiapa sahaja untuk menambah pahala lebih banyak.

“Saya suka buat di Makkah kerana pahalanya 100,000 kali ganda.

“Hari ini kita ada 550 bungkus makanan yang diagihkan. Ini hasil daripada wang jemaah di sini mahupun di Malaysia.

“Alhamdulillah, semuanya dipermudahkan kerana usaha ini sememangnya sudah lama diamalkan, berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan.

“Biasanya yang ambil makanan ni adalah mereka yang dating buat Umrah tapi tiada cukup duit untuk makan dan sebilangan lain adalah pekerjaa binaan di sini,” katanya.

Katanya lagi, infak Sabeel ini biasanya akan habis kurang daripada sejam selepas solat Jumaat.

“Sabeel itu sendiri membawa maksud infak atau sedekah atau derma.

“Jadi, sama-sama kita berbuat kebaikan untuk membantu mereka yang memerlukan,” katanya. -MalaysiaGazette