Himpunan Selamatkan Malaysia
Mohd Na'im Mokhtar

BANGI – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan berhubung dakwaan berlaku kegiatan mempromosi agama Kristian di hadapan sebuah surau di Banda Hilir, Melaka, baru-baru ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar bagaimanapun lega kerana persatuan-persatuan agama Kristian telah mengeluarkan kenyataan menafikan perkara itu.

“Kita tidak mahu perkara ini ditimbulkan oleh segelintir pihak yang mungkin cuba menimbulkan rasa kebencian pada agama lain sebab buat di hadapan surau dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Perhimpunan dan Sambutan Bulan Kebangsaan Peringkat agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di sini hari ini.

Beliau ditanya media mengenai perkara tersebut yang kini sedang disiasat polis Melaka.

Baru-baru ini tular penyebaran satu klip video berdurasi 16 saat di aplikasi TikTok mengenai tindakan dua wanita menyebarkan risalah Bible di kawasan surau tumpuan utama pelancong di hadapan Surau Warisan berhadapan Bangunan Stadthuys, Banda Hilir yang didakwa berlaku pada 27 Julai lalu.

Memetik laporan media, polis Melaka turut menerima empat aduan berhubung perkara itu.

Sebelum ini MalaysiaGazette turut melaporkan, berdasarkan video yang dirakam seorang pengayuh beca, lelaki itu mempersoalkan apakah niat dan kewajaran kumpulan itu membuka reruai mempromosikan Bible di hadapan surau pelancongan ikonik Melaka itu.

Tinjauan di ruang video mendapati ia mendapat lebih 1,000 perkongsian dan 1,400 komen meminta pihak berkuasa menyiasat perbuatan yang seolah-olah mahu mencabar Islam sebagai agama rasmi negara.

Dalam pada itu, menurut Mohd Na’im lagi, JAKIM sebagai agensi Persekutuan yang menyelaras dan bertanggungjawab mempertahankan agama Islam akan bekerjasama dengan pihak polis dalam isu tersebut.

Jelasnya, sebagaimana maklum perkara berkaitan agama Islam terletak dalam kuasa negeri dan ketika ini perkara itu diserah kepada jabatan agama di Melaka untuk diuruskan.

“Kita sentiasa mengadakan mesyuarat dan pertemuan dengan jabatan agama negeri-negeri bagi  membincangkan perkara (tenrtentu) dan kalau ada ancaman penyebaran agama lain yang terang-terang bertentangan dengan Perlembagaan dan juga undang-undang di negara ini melalui penyelarasan tersebut, kita (JAKIM) akan mengambil tindakan,” tambahnya. – MalaysiaGazette