Saifuddin pada Majlis Sua Mesra Bersama Kementerian Dalam Negeri di Dewan Millenium, Kepala Batas, Pulau Pinang hari ini.

KEPALA BATAS – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan meningkatkan penguatkuasaan undang-undang jalan raya dan kempen kesedaran pengguna dalam usaha mengurangkan kes kemalangan.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerajaan memandang serius jumlah kematian terutamanya membabitkan penunggang motosikal yang menjadi penyumbang utama statistik kemalangan.

Bagaimanapun, jelas beliau, trend tiga tahun kebelakangan ini angka saman yang dikeluarkan sangat tinggi sekali gus membuktikan aspek penguatkuasaan dilakukan secara tegas.

“Aspek penguatkuasaan kalau ditunjukkan indikatornya adalah jumlah saman itu memang tinggi maksudnya penguatkuasaan berjalan namun di sisi lain angka kemalangan masih terus berlaku.

“Sehubungan itu, kita buat perbincangan dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain yang mana kembali semula kepada basic (asas) iaitu kempen kesedaran keselamatan jalan raya peringkat sekolah, akar umbi serta komuniti,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sua Mesra Bersama Kementerian Dalam Negeri di Dewan Millenium di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, polis merekodkan anggaran nilai saman berjumlah RM2.18 bilion dalam tempoh tiga tahun bermula 2021.

“Polis merekodkan 4.6 juta saman pada 2021, diikuti 5.3 juta (2022) dan 4.6 (2023),” katanya.

Media pada 6 Ogos lalu melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan kebimbangan terhadap kadar kemalangan tinggi dalam kalangan pengguna motosikal yang berkait dengan kelemahan penguatkuasaan undang-undang selain isu penyelenggaraan jalan raya.

Tegas beliau, kadar kemalangan tinggi dalam kalangan pengguna motosikal berkait dengan kelemahan penguatkuasaan undang-undang selain isu penyelenggaraan jalan raya.

Kebimbangan itu dinyatakan Perdana Menteri sewaktu kunjungan hormat oleh Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye. – MalaysiaGazette