Tertuduh, Mohammad Enus Sayed Hussin, 33, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuan jirannya berusia 14 tahun, bulan lalu.

MELAKA – Seorang lelaki Rohingya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuan jirannya berusia 14 tahun, bulan lalu.

Tertuduh, Mohammad Enus Sayed Hussin, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Azaraorni Abd Rahman

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan amang seksual fizikal iaitu dengan memeluk, meraba payudara, kemaluan serta mencium pipi dan mulut seorang kanak-kanak perempuan berusia 14 tahun dan tujuh bulan ketika kejadian.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah bernombor di Merlimau dalam daerah Jasin pada pukul 8 malam pada 21 Julai lalu.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kanak-kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah akta sama.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Rashidah Baharom tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh yang merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) kerana mangsa adalah jiran tertuduh.

Tertuduh yang berjubah putih dan berkopiah bagaimanapun tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan tarikh 9 September ini sebagai sebutan semula kes dan melantik jurubahasa Rohingya. – MalaysiaGazette