Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali mengimbas kad perakam waktu sebelum meninggalkan Jabatan Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 9 OGOS 2024

PUTRAJAYA – Tan Sri Mohd Zuki Ali yang akan menyambut hari jadi ke-62 pada Ahad ini menyifatkan perasaraannya sebagai Ketua Setiausaha Negara berkuat kuasa esok sebagai hadiah yang istimewa sepanjang hidupnya.

Beliau berkata, banyak pengalaman yang tidak akan dilupakan dan bermakna sepanjang 32 tahun menjadi penjawat awam.

“Saya bersyukur kerana sepanjang tempoh tersebut dan sepanjang saya berkhidmat sebagai KSN banyak pengalaman yang saya lalui, banyak hikmah yang saya dapat dan alami terutama sekali saya sempat berkhidmat dengan dua Yang di-Pertuan Agong dan empat Perdana Menteri.

“Inilah hadiah yang paling istimewa buat saya kerana saya berjaya mengakhiri perkhidmatan saya selama 32 tahun sebagai penjawat awam,” katanya.

Beliau menamatkan khidmatnya dengan mengimbas perakam waktu keluar di bangunan Perdana Putra pada jam 4.50 petang tadi.

Beliau akan diganti oleh Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar yang akan memulakan tugas pada Isnin ini.

Mohd Zuki turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan seluruh Jemaah Menteri termasuk semua penjawat awam yang memberi kerjasama sepanjang beliau menjawat jawatan tersebut.

“Pada kesempatan ini juga saya ingin merakam terima kasih dan penghargaan saya kepada semua ketua perkhidmatan, Ketua Setiausaha, Pengarah, dan semua yang memberikan komitmen. Sudah pastinya ucapan terima kasih daripada saya kepada semua penjawat awam.

“Bagi saya marilah sama-sama kita melaksanakan tugasan ini dengan penuh tanggungjawab untuk memastikan inspirasi Kerajaan Madani dapat dilaksanakan sebaik mungkin,” tambahnya.

Menjawab soalan berhubung jawatan penting yang akan diberikan kepadanya, Mohd Zuki berkata, beliau bersedia untuk menggalas peranan sekiranya diperlukan.

“Saya sentiasa bersedia untuk berikan apa juga khidmat nasihat pandangan.  Selagi diperlukan saya akan sentiasa menyokong,” katanya lagi.

Mohd Zuki, 62, dilantik sebagai KSN pada 31 Disember 2019 dan dilantik semula memegang jawatan itu secara kontrak selama dua tahun berkuat kuasa dari 11 Ogos 2022 hingga 10 Ogos 2024.

Beliau yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan dari Nanyang University, Singapura pernah berkhidmat di beberapa kementerian seperti Kementerian Kewangan, Kementerian Pelajaran, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri serta Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Beliau juga pernah bertugas di Istana Negara dan Jabatan Perdana Menteri, serta pernah menjawat jawatan Setiausaha Persekutuan Sarawak dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan.

Terdahulu, Perdana Menteri berkata, Mohd Zuki akan diberikan tugasan penting lain bagi membantu kerajaan, namun tidak memperincikan peranan berkenaan. – MalaysiaGazette