Ranndy Yap Kim Heng dibawa keluar dari kamar perbicaraan setelah mengaku tidak bersalah setelah didakwa enam pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuantan di sini atas enam pertuduhan membabitkan kes pecah amanah hari ini.

KUANTAN – Naib Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Ranndy Yap Kim Heng didakwa atas enam pertuduhan membabitkan kes pecah amanah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Tertuduh berusia 62 tahun itu membuat pengakuan tidak bersalah di hadapan hakim Maimoonah Aid selepas petuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Dalam kertas pertuduhan, Yap Kim Heng yang menjawat Jawatan Timbalan Pengerusi Persatuan Bola Keranjang Amator Kuantan (KABA) telah melakukan pecah amanah berkaitan bayaran sewa kiosk Persatuan Bola Keranjang Amator Kuantan oleh Dai Sou Nasi Lemak.

Beliau didakwa melakukan keenam-enam kesalahan tersebut sejak Mei 2018 sehingga Jun 2021 membabitkan bayaran sewa berjumlah RM15,950 dengan memasukkan cek sewaan itu ke dalam akaun isteri dan anaknya.

Oleh itu Ranndy telah dituduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Dia boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang dari dua dan tidak lebih 20 tahun dan dengan sebat dan hendaklah juga dikenakan denda.

Sesi pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Rifah Izzati Abdul Mutalif.

Rifah Izzati memohon mahkamah agar mengenakan wang jaminan sebanyak RM30,000 berserta syarat tambahan terhadap tertuduh dikenakan.

Ia termasuk menghadirkan diri ke pejabat SPRM pada setiap bulan selain menyerahkan pasport kepada pihak mahkamah.

Manakala Ranndy diwakili oleh peguam Bala Bedha memohon mahkamah mengurangkan wang jaminan kepada RM20,000 dengan alasan anak guam sudah tidak bekerja, menanggung isteri yang sakit dan anak masih belajar.

Pihak pembelaan juga memohon agar tertuduh dapat menyimpan pasport sendiri kerana ingin memudahkan untuk mendapat rawatan jantung di Singapura.

Hakim Maimoonah kemudian menetapakan wang jaminan RM18,000 di mana RM3,000 bagi setiap pertuduhan beserta syarat tambahan.

Tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah namun boleh membuat permohonan penggunaannya bagi tujuan rawatan selain menghadirkan diri ke pejabat SPRM setiap bulan.

Mahkamah menetapkan kes disebut semula pada 20 September depan.

Difahamkan tertuduh membuat bayaran cagaran wang jaminan bernilai RM18,000 kepada mahkamah.

Sementara itu,  Pengerusi KABA, Datuk Abdul Aziz Salleh dilihat hadir bagi memberi sokongan terhadap timbalannya itu ketika ditemui di perkarangan mahkamah. – MalaysiaGazette