Gambar tular baru-baru ini memaparkan seorang pemain bola sepak menggunakan kerambit dalam pergaduhan ketika perlawanan bola sepak berlangsung.

KUALA LUMPUR – Sepasang kekasih ditahan polis semalam kerana membawa kerambit ketika perlawanan bola sepak di Padang Bola Sepak KLFA, Desa Melati, di sini.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, suspek bersama teman wanitanya warga asing berusia 21 tahun ditahan di sebuah rumah di Klang, Selangor kira-kira jam 6.30 petang.

“Hasil siasatan awal mendapati, suspek lelaki berumur 22 tahun mengaku mengeluarkan senjata tajam iaitu kerambit bagi mempertahankan diri ketika kejadian.

“Susulan itu, suspek direman selama empat hari bermula hari ini sehingga Isnin ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, teman wanita suspek akan disiasat bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigeresen 1959/63 kerana tiada dokumen perjalanan yang sah.

Terdahulu, media melaporkan perselisihan faham menjadi punca suspek yang juga pemain bola sepak sebuah pasukan membawa masuk senjata terbabit.

Susulan itu, polis giat mengesan suspek susulan tular di media sosial beberapa gambar kejadian itu yang berlaku kira-kira jam 12.30 tengah malam Ahad lalu. – MalaysiaGazette