KUALA LUMPUR – Polis telah mengesan satu hantaran yang dimuat naik pemiik akaun aplikasi media sosial X dipercayai mengaibkan anggota polis trafik.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar berkata, anggota terlibat telah membuat laporan berhubung hantaran tular itu pukul 7.30 pagi semalam.

“Pemilik akaun aplikasi X menggunakan nama ‘Syedewa’ dikesan memuat naik gambar pegawai polis yang sedang menjalankan tugas sekatan jalan raya (SJR) di Damansara Damai pada 10.45 pagi, 6 Ogos lalu.

“Hantaran berkenaan bertujuan mengaibkan imej pegawai polis yang sedang menjalankan tugas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu, pihaknya telah membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 505(C) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Tambah Shahrulnizam, polis kini sedang mengesan pemilik akaun terbabit untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau saksi kes itu diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03-79662222.

Terdahulu, tular hantaran memaparkan gambar anggota polis trafik sedang menjalankan tugas dengan menahan kenderaan dipercayai pemilik akaun berkenaan.

Kemudian individu terbabit memuat naik hantaran yang mempertikaikan tugasan anggota polis trafik terlibat. – MalaysiaGazette