Darvin didakwa atas pertuduhan melakukan ugutan hendak menyebabkan kematian kepada bekas kekasihnya di Mahkamah Majistret Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

BUTTERWORTH – Penghantar makanan (rider p-hailing) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melakukan ugutan bunuh terhadap bekas kekasihnya.

Tertuduh, S.Darvin, 21, membuat pengakuan itu dan meminta dibicarakan sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Siti Zulaikha Nordin @ Ghani.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa telah menakutkan secara jenayah kepada R. Sivarubini, 27, dengan ugutan hendak menyebabkan kematian.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pasar raya Lotus, Bagan Ajam di sini pukul 8.30 malam pada 4 Ogos lalu.

Tertuduh dibenarkan ikat jamin RM3,000.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Asma’ ‘Amira Shahidani yang menjalankan pendakwaan menawarkan jaminan RM5,000 bersama seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh tidak boleh mendekati mangsa sehingga kes selesai.

Bagaimanapun, dalam rayuan tertuduh yang diwakili Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon jaminan minima atas alasan pendapatan bulanan hanya RM2,500 selain menanggung ibu bapa.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 berserta syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan.

Media sebelum ini melaporkan, tindakan pantas orang ramai berjaya menyelamatkan seorang wanita daripada cuba dibunuh bekas teman lelakinya dalam kejadian di sebuah pasar raya di Bagan Ajam di sini, pada Ahad lalu.

Mangsa yang merupakan warga tempatan mengalami kecederaan pada jari kelingking kanan semasa bergelut untuk melepaskan diri susulan diserang suspek menggunakan senjata pisau.

Insiden berkenaan turut tular menerusi satu rakaman video berdurasi 28 saat menunjukkan lelaki tersebut memegang sebilah pisau sambil merangkul leher bekas teman wanitanya di dalam sebuah pasar raya.

Kejadian itu turut disaksikan orang ramai selain ada yang cuba membantu menyelamatkan mangsa. – MalaysiaGazette