Dari kiri: Syahredzan Johan, Young Syefura Othman dan Sheikh Umar Bagharib Ali.

KUALA LUMPUR – Tiga wakil rakyat beragama Islam dalam DAP menuntut individu yang menuduh parti itu sebagai ‘kafir harbi di Malaysia’ supaya memohon maaf.

Sheikh Umar Bagharib Ali, Syahredzan Johan dan Young Syefura Othman dalam satu kenyataan bersama mengecam sekeras-kerasnya kenyataan yang dikeluarkan dalam satu ceramah kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Nenggiri.

Menurutnya, ceramah tersebut turut dihadiri Ahli Parlimen Bachok Syahir Sulaiman dan juga Pengerusi Muafakat Nasional, Tan Sri Annuar Musa.

Tuduhan yang disifatkan sebagai melampau itu didakwa dilakukan oleh individu yang mempengerusikan majlis ceramah berkenaan dan telah tular di media sosial.

“⁠Kami dengan ini menuntut supaya individu dalam rakaman video tersebut meminta maaf terhadap semua ahli parti DAP yang beragama Islam yang telah dihukum sebagai kafir oleh beliau.

“Pada masa yang sama, kami menuntut supaya kepimpinan Pas dan Perikatan Nasional supaya menyatakan pendirian mereka sama ada mereka bersetuju dengan kenyataan melampau individu tersebut.

“Sekiranya tidak, Pas dan Perikatan Nasional turut digesa untuk mengecam kenyataan tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Kesemua mereka yang merupakan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP berkata, ‘kafir harbi’ merupakan istilah fiqah klasik yang muncul dalam konteks zaman wujudnya ancaman perang dan bunuh dari negara orang kafir ke atas negara umat Islam.

Golongan kafir tersebut diklasifikasikan sebagai ‘kafir harbi’ dan darah kumpulan itu ‘halal’ untuk diperangi demi mempertahankan kedaulatan diri dan tanah air umat Islam.

“Justeru, kenyataan melampau yang muncul menerusi rakaman video ceramah Pas di Nenggiri itu adalah sesuatu perbuatan takfiri terhadap ahli-ahli parti DAP yang beragama Islam yang langsung tidak boleh diterima,” tegasnya.

Mereka menggesa supaya pihak Perikatan Nasional berkempen dengan matang dan sejahtera, dan bukannya memainkan politik kebencian. – MalaysiaGazette