SHAH ALAM – Proses bedah siasat jenazah Muhammad Nidza Afham Mokhtar akan diadakan kira-kira pukul 9 pagi ini.
Jenazah allahyarham ditemui di Sungai Klang pukul 7 malam tadi telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Shah Alam (HSA) untuk urusan bedah siasat.
Mayat Muhammad Nidza Afham dijumpai kira-kira satu kilometer dari lokasi allahyarham dilaporkan hilang.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan mayat berkenaan adalah Muhammad Nidza Afham selepas proses pengecaman mayat selesai dilakukan oleh ahli keluarga mangsa di lokasi kejadian.
“Siasatan lanjut dari segi klasifikasi kes akan dibuat selepas mendapat hasil bedah siasat,” katanya malam tadi.
Muhammad Nidza Afham dikatakan keluar berjoging di Stadium Sultan Suleiman, Klang seorang diri sebelum kehilangannya disedari pada malam Selasa.
Adiknya, Afrina Hanie mendakwa kehilangan mangsa berkaitan dengan kes samun.
Ini susulan kad debit dan wang tunai hilang manakala kad pengenalan, kad pelajar dan gambar Allahyarham yang disimpan di dalam dompet tidak terusik ketika dijumpai di atas Jambatan Sungai Klang.- MalaysiaGazette