Pihak berkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur(DBKL) menutup laluan di kawasan lubang mendapan baru yang telah dikesan awal pagi tadi ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 28 OGOS 2024

PUTRAJAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar secara peribadi terharu dan gembira selepas mendapat tahu mengenai lelaki yang terselamat daripada tanah jerlus di Masjid India baru-baru ini telah memeluk Islam.

Katanya, tidak dapat dinafikan kejadian tersebut menjadi asbab dan hikmah untuk individu terbabit menjadi saudara Islam baharu.

“Hidayah ini kuasa Allah, Rasulullah pun tidak mampu memberi hidayah kecuali Allah. Allah beri petunjuk dan hidayah kepada siapa yang dikehendakiNya. Bayangkan, siapa sangka apabila saudara ini, dia nampak sendiri kejadian itu berlaku depan matanya tapi Allah selamatkannya.

“Ini asbab kejadian itu Allah buka hatinya memeluk agama Islam. Saya terima dan gembira saudara baharu dan mengenangkan hikmah yang diterimanya daripada kuasa Allah,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian Pusat Hemodialisis MAIWP-PICOMS cawangan Putajaya di Presint 15, hari ini.

Baru-baru dilaporkan, lelaki berusia 48 tahun yang terselamat daripada jatuh akibat tanaj jelus di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur pada 23 Ogos lalu telah memeluk Islam.

Menurut Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Mohd Samsudin, lelaki tersebut menyifatkan kejadian terbabit mempunyai hikmah tersendiri yang membuka pintu hatinya memeluk Islam. – MalaysiaGazette