‘Bayi Merdeka’ yang baru sahaja dilahirkan bersamaan dengan tarikh Sambutan Hari Kebangsaan 2024 di Hospital Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 31 OGOS 2024

PUTRAJAYA – Seramai enam bayi dilahirkan di Hospital Putrajaya setakat jam 3 petang tadi, serentak pada hari sambutan ulang tahun Hari Kemerdekaan ke-67 negara hari ini.

Timbalan Pengarah Kesihatan (Perubatan) JKWPKL dan Putrajaya, Dr Muhammad Yusuf Sibert berkata, bayi-bayi itu terdiri daripada tiga lelaki dan tiga perempuan itu dilahirkan secara normal dan pembedahan.

“Bayi pertama dilahirkan pada jam 12.39 pagi tadi.

“Setakat sekarang kita ada enam bayi dan berharap ada lagi dan boleh sasar dua angka kelahiran di sini. Mungkin boleh cecah lebih 10 orang bayi hari ini,” katanya kepada media selepas melawat keenam-enam bayi berkenaan di wad 2A Hospital Putrajaya, petang tadi.

Ibu bapa bergambar bersama bayi yang baru sahaja dilahirkan bersamaan dengan tarikh Sambutan Hari Kebangsaan 2024 di Hospital Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 31 OGOS 2024

Buat ibu muda, Iffatun Nisa Andul Halim, 26,  berkata, dia sepatutnya melahirkan bayi lelakinya pada 19 September namun gembira menyambut kelahirannya pada Hari Kebangsaan.

“Saya tidak sangka nak melahirkan hari ini sebab patutnya bersalin 16 September. Tapi rupanya bayi saya nak lahir Hari Kebangsaan.

“Semoga dia berjiwa patriotik dan sayangkan negara seperti mana tarikh kelahiran yang disambut setiap tahun oleh semua rakyat Malaysia.

“Nama belum ada. Tidak fikir lagi,” kata pelatih di Institut Pendidikan Guru itu.

Seorang bapa menenangkan bayinya yang baru sahaja dilahirkan bersamaan dengan tarikh Sambutan Hari Kebangsaan 2024 di Hospital Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 31 OGOS 2024

Pasangannya, Adly Ukasha Abdul Malik, 27, berkata, dengan kelahiran itu tidak ada alasan baginyan untuk tidak mengingati tarikh lahir anak sulungnya itu.

“Bila anak lahir pada tarikh kemerdekaan sudah tentu sukar nak dilupakan sebab satu negara akan sambut hari kelahiran dia.

“Alhamdulilah syukur atas kelahiran bayi saya cara normal dan bayi pun sihat.

Ibu, Ang Yit Hua, bercakap kepada wartawan ketika Sambutan Bayi Merdeka peringkat Putrajaya di Hospital Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 31 OGOS 2024

Dalam pada itu, Ang Yit Hua, 33, yang melahirkan anak keduanya hari ini berkata, dia  gembira apabila bayi perempuannya lahir pada tarikh sangat istimewa buat rakyat Malaysia.

“Saya dijadualkan bersalin pada 23 Ogos tapi dia keluar 31 Ogos dengan berat 3.74 kilogram.

Suri rumah itu cukup gembira kerana kini mendapat sepasang anak, selepas memiliki anak sulung lelaki.

“Saya harapkan dia jadi anak yang baik dan paling penting dia sentiasa gembira dan lebih sayang kepada negaranya,” katanya. – MalaysiaGazette