Dr Dzulkefly Ahmad.

KUALA LUMPUR – Siasatan lanjut perlu dilakukan ke atas kematian seorang pakar perubatan di Hospital Lahad Datu, Sabah, Dr. Tay Tien Yaa, yang dikaitkan dengan insiden bunuh diri akibat dibuli di tempat kerja.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, beliau tidak akan bertoleransi terhadap perbuatan buli ketika menjawat jawatan yang sama pada 2018 dan polisi itu kekal.

“Semua kakitangan KKM (Kementerian Kesihatan) layak mempunyai persekitaran kerja yang selamat dan adil,” katanya menerusi hantaran pada platform X, hari ini.

Dr. Tien Yaa ditemui mati dipercayai membunuh diri di kediaman yang disewanya pada 29 Ogos, lepas.

Berita itu mendapat perhatian luas selepas seorang lelaki yang mendakwa dirinya sebagai adik mendiang memuat naik satu hantaran yang menyayat hati di laman media sosial.

Dalam hantaran itu, adik mendiang melaporkan kakaknya baru sahaja melaporkan diri sebagai Ketua Unit Patologi Kimia di Hospital Lahad Datu, Februari lalu.

“Beliau dijanjikan untuk dipindahkan semula ke Semenanjung selepas dua tahun perkhidmatannya supaya dapat duduk bersama suami yang baru sahaja dikahwini pada September 2023.

“Walaubagaimanapun, kakak telah menghadapi tekanan berat dan bebanan kerja yang luar dari bidang kerjanya di hospital,” dakwanya.

Adik mendiang mendakwa kakaknya telah menjadi mangsa buli ketua jabatan yang disifatkan sebagai ‘zalim’ kerana telah menyalahgunakan kuasa untuk menindas pekerja bawahan.

Menurut Dzulkefly, beliau tahu budaya keja toksik itu masih wujud dan pelakunya perlu menghentikan perbuatan buli. _ MalaysiaGazette