Kereta yang dinaiki mangsa dalam kejadian di Simpang Tiga Kuala Bakong, Jalan Malau-Kuala Ketil, Kedah. FOTO Orang awam

BALING- Dua beranak maut selepas kereta yang dinaiki terbabit nahas ketika cuba mengelak kera di Simpang Tiga Kuala Bakong, Jalan Malau-Kuala Ketil, dekat sini, semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah, Deputi Superitendan Cjaran Ai Wan berkata, mangsa Siti Norhasliza Kamarudin, 26, dan ibunya Omi Kalsom Man, 69, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, dalam kejadian 6.12 petang itu, kereta yang dipandu suami mangsa, Mohd Fadzil Othman, 27, datang dari arah Sungai Sedim, Kulim menghala ke Bedong, Sungai Petani untuk pulang ke rumah.

Sebaik tiba di tempat kejadian, seekor kera melintas jalan menyebabkan Mohd Fadzil cuba mengelak.

“Bagaimanapun kenderaan itu dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan terbabas dalam kawasan semak.

“Akibat daripada kemalangan itu, kedua-dua mangsa dipercayai tercampak keluar daripada kenderaan dan cedera parah di kepala dan badan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya di sini hari ini.